KUALA LUMPUR – Sidang media Parti Warisan Sabah (Warisan) di lobi Parlimen kecoh apabila seorang wartawan yang mengajukan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang didakwa telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada jurugambar.
Soalan daripada wartawan itu adalah “Sebelum soalan lanjut, kami cuma nak minta penjelasan daripada Menteri Pelancongan kenapa tadi dipanggil media rubbish, idot ketika menjalankan tugas?”.
Namun Mohamaddin yang merupakan Ahli Parlimen Lahad Datu dikatakan meninggikan suara menafikan mengeluarkan perkataan yang disebut oleh wartawan itu.
“Mana ada. Saya tidak cakap begitu. Bila? Anda buktikan kepada saya yang saya cakap begitu. Baik awak dengar baik-baik,” katanya,
Soalan tersebut diajukan susulan beberapa orang jurugambar mengambil gambarnya di lobi.
Mohamaddin kemudian bertanya dengan nada marah kepada jurugambar sebuah portal mengapa gambarnya diambil.
“Kenapa awak ambil gambara saya? You better get lost (Baik awak berambus,” katanya.
Pada masa itu, terdapat lebih kurang empat orang jurugambar yang bertugas.
Jurugambar itu memaklumkan takut dengan kata-kata Ahli Parlimen Warisan itu.
Mohamaddin kemudian mendekati seorang lagi jurugambaryang ketika itu berada di kawasan berdekatan sambil menyebut ‘rubbish’.
“Masa dia dekati saya dia ada menyebut ‘rubbish’ dengan ayat yang lain tapi saya tidak pasti dia sebut kepada saya atau tidak,” kata seorang lagi jurugambar yang enggan didedahkan namanya.
Lebih kurang sejam selepas sidang pertama Mohamaddin diajukan soalan itu, beliau berjumpa dengan pemberita di lobi Parlimen menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyebut perkataan ‘rubbish’ dan idiot’ kepada jurugambar.
Namun beliau mengaku menyebut “You better get lost” kerana beberapa kali gambarnya diambil oleh jurugambar terbabit.
“Saya bertanya kepadanya kenapa berterusan ambil gambar saya. Tapi saya tidak sebut ‘rubbish’.
“Berterusan ambil gambar saya, saya nak ke tandas pun ambil gambar, saya cakap hentikan, saya rasa lebih baik awak berambus (you better get lost),”katanya lagi.
Lazimnya, jurugambar media yang bertugas Parlimen akan mengambil gambar wakil rakyat untuk digunakan kemudian. -MalaysiaGazette