BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan parah dan koma selepas terjatuh dari balkoni tingkat dua rumahnya di Kuarters Bomba Pangsapuri Setia Wira, Taman Perai Utama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa di katakan memanjat balkoni kerana mahu masuk melalui pintu dapur sebelum tergelincir dan terjatuh dalam keadaan muka tersembam di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
“Semasa kejadian mangsa tinggal seorang diri dan kanak-kanak itu di percayai keluar rumah tanpa membawa kunci sebelum memanjat balkoni di tingkat dua kerana mahu masuk melalui pintu dapur,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.
Katanya, ketika kejadian ibu kanak-kanak itu berusia 33 tahun telah keluar bekerja sebagai juruwang manakala manakala bapa tirinya yang berumur 46 tahun berada di surau berhampiran kerana menghadiri program ceramah.
Menurutnya mangsa yang cedera parah di kepala dan dada serta dihantar ke Hospital Seberang Jaya sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang masih belum sedarkan diri.
“Polis mengambil keterangan ibu kandung dan bapa tirinya serta jiran mereka untuk siasatan lanjut.Setakat ini kejadian itu tidak mempunyai unsur jenayah,” katanya. – Bernama