SEPANG – Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipecat PKR, Zakaria Abdul Hamid atas dakwaan terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu mendesak Lembaga Disiplin parti itu menarik balik keputusannya dan memohon maaf secara terbuka kepada beliau secepat mungkin.
Zakaria yang belum menerima surat pemecatan berkata, beliau akan memikirkan tindakan lanjut setelah menerima surat itu.
“Saya tidak tahu bunyi dan kandungan surat pemecatan itu jadi saya kena tunggu dulu surat itu, selepas dapat surat nanti baru saya akan balas apa tindakan saya selanjutnya.
“Saya ralat dan kecewa dengan kaedah pengendalian kes ini yang membawa kepada pemecatan keanggotaan saya dan seorang lagi anggota kami Ismail Dulhadi dalam peraturan siasatan Lembaga Disiplin (LD) begitu juga dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) biasanya yang dituduh akan dipanggil untuk memberi keterangan bela diri sebelum keputusan dibuat.
“Dalam kes ini proses keadilan ini tidak berlaku untuk kami dan saya yakin MPP juga terkhilaf dalam proses membuat keputusan.
“Oleh demikian saya membantah pemecatan berkenaan dan mendesak supaya keputusan tersebut ditarik balik dan juga menuntut MPP memohon maaf secara terbuka bagi membersihkan nama saya yang dituduh melakukan rasuah.
“Saya sedia bekerjasama dengan LD bagi memberi penjelasan berkait tuduhan fitnah ini demi menegakkan keadilan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur..
Zakaria yang bersut hitam disambut lebih 100 orang penyokong termasuk dari cabang PKR Bera.
Mereka memegang sepanduk ‘Keadilan untuk Zakaria Abdul Hamid’.
Tambah Zakaria, beliau dipanggil SPRM Cawangan Bandar Tun Razak pada Oktober lalu ketika laporan dibuat ke atasnya, diambil keterangan dan kini disahkan tiada pendakwaan terhadapnya.
Katanya, beliau juga terkilan kerana dipecat sedangkan ramai rakannya ditahan dan didakwa tetapi masih belum dipecat.
Ditanya sama ada beliau akan menemui Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah tersebut, Zakaria berkata, beliau mahu melihat kandungan surat SPRM. – MalaysiaGazette