Suasana sekitar ketika wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Civil Society Organization (CSO) ketika hadir menyerahkan memorandum sokongan kepada wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama Warga Palestin di Menara PJH, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 29 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mencari penyelesaian terbaik di dalam menangani kekejaman zionis terhadap rakyat Palestin dan seterusnya mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Menurut Presiden Angkatan Belia Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz, PBB boleh melakukannya menerusi jawatan kuasa khas mengenai hak Palestin.

“”Resolusi 2334 mengesahkan bahawa pembinaan penempatan dalam wilayah Palestin termasuk di Jerusalem Timur sebagai tidak sah.

“Keengganan Israel patuh kepada perundangan ini menonjolkan sikap biadab mereka.

“Resolusi ini cukup untuk menjadi suatu landasan bagi mendapatkan izin pendakwaan daripada Dewan Pra-Pengadilan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), selari dengan Artikel 15 (1) Statute Rome,” katanya selepas mengetuai delegasi sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Abim, Majlis Belia Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara menghantar memorandum membantah kekejaman Israel kepada PBB.

Memorandum yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB, António Guterres itu diterima oleh Penyelaras Residen PBB di Malaysia, Stefan Priesner di Putrajaya hari ini.

Tambah Muhammad Faisal, Israel secara berterusan dengan sengaja telah mencabul hak asasi termasuk dengan mengadakan sekatan perjalanan dan barangan ke Palestin.

Rejim zionis juga katanya telah meletakkan warganya secara haram ke penempatan Tebing Barat dan selama 70 tahun pendudukan zionis, pergolakan di Asia Barat belum pernah reda dan selama itulah angka korban rakyat Palestin terus meningkat.-MalaysiaGazette