KUALA LUMPUR – Gerakan koperasi seluruh negara perlu berubah menjadi lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung dengan kerajaan.
Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin berkata, banyak cara yang boleh digunakan untuk menambah modal setiap koperasi khususnya berkecimpung dalam arena perniagaan yang bertaraf antarabangsa dan berskala besar seiring dengan permintaan pasaran.
“Dalam usaha baharu ini gerakan koperasi perlu berdikari untuk mendapatkan modal bagi membangunkan perniagaan, tidak boleh terlalu bergantung dengan kerajaan.
“Koperasi merupakan lambang kuasa rakyat berasaskan nilai dan prinsip berdikari, amanah, ketelusan, keikhlasan, tanggungjawab sosial dan prihatin terhadap orang lain. Gerakan koperasi mengembalikan kuasa kepada anggotanya dan dikawal secara demokratik.
“Justeru dalam persetujuan ahlinya koperasi dapat menceburkan perniagaan baharu terutama dalam bidang arus ekonomi negara berskala besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis Simposium Cabaran Gerakan Koperasi Era Globalisasi di sini hari ini.
Gerakan koperasi tambah Daim, perlu berubah mengikut perubahan era globalisasi yang bersesuaian dengan kehendak masa khususnya pada era Revolusi Industri 4.0.
“Gerakan koperasi perlu berubah dengan anjakan paradigma yang sesuai. Dunia berubah sekelip mata, koperasi juga perlu berubah.
“Sudah tiba masanya gerakan koperasi berubah bagi membolehkan ahlinya bersaing dalam era Revolusi Industri 4.0,” ujarnya.
Semasa sesi dialog bersama ahli koperasi dari pelbagai kawasan, Daim turut mencadangkan agar gerakan koperasi mencuba perniagaan pertanian yang boleh dijadikan punca pendapatan.
Ini kerana kata beliau, dalam jangka masa 10 tahun akan datang penduduk kebanyakan negara-negara ASEAN akan meningkat sehingga berbilion-bilion, justeru bekalan makanan perlu sentiasa ada.
Sehubungan itu, situasi masa depan ini menurut beliau yang juga merupakan bekas Menteri Kewangan akan dapat memberi peluang untuk gerakan koperasi tempatan melebarkan sayap sehingga ke perniagaan antarabangsa.
“Dalam tiga tahun lagi, balik kampung, tanam sayur, tanam buah-buahan kerana sayur lepas tiga bulan ada hasil, buah lepas tiga bulan ada hasil,” katanya lagi.-MalaysiaGazette