Syed Badli Shah Syed Othman
Syed Badli Shah Syed Osman.

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang berniat untuk berterusan melanggar saluran rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicadangkan supaya keluar parti dan menubuhkan parti baharu.

Cadangan itu dibuat oleh Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman yang memandang serius tindakan segelintir pihak yang sengaja mengelirukan akar umbi dengan menyalurkan maklumat salah berkaitan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan 2019.

Terangnya, tiada istilah perasmian pembukaan dan perasmian penutup bagi Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan 2019 yang bakal berlangsung pada 6 Disember 2019 di MiTC Melaka.

Yang ada hanya satu majlis perasmian sahaja iaitu Perasmian Kongres AMK yang akan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Keadilan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada hari Jumaat, 6 Disember 2019.

“Seperti mana yang diumumkan oleh Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan merasmikan Kongres Wanita manakala Wan Azizah akan merasmikan Kongres AMK.

“Jika terdapat sebarang majlis selain dari yang diputuskan oleh Mesyuarat Rasmi Majlis Pimpinan Pusat adalah dianggap sebagai bukan majlis rasmi AMK,” ujarnya yang mahu semua pihak perlu berhenti dari terus mengelirukan akar umbi dengan menggunakan nama AMK tanpa persetujuan dari Majlis Pimpinan AMK.

Beliau turut menyeru seluruh akar umbi parti untuk terus bersatu mendukung agenda reformasi dengan menghadiri kongres rasmi seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.