BERLIN- Kerajaan akhirnya menetapkan tarikh pembukaan lapangan terbang baharu Berlin, sekali lagi.

Sudah terlalu banyak tarikh yang ditetapkan sebelum ini, namun kali ini ia mungkin benar-benar terjadi, kata beberapa ahli politik.

Di Jerman, kisah mengenai lapangan terbang Berlin yang tidak siap-siap itu merupakan satu jenaka dan projek yang memalukan negara dengan duit pembayar cukai dibuang sesuka hati demi memastikan projek yang tertangguh itu dapat diteruskan.

Setelah terlewat selama lapan tahun dan melebihi bajet asal sebanyak berbilion dolar, pihak berkuasa akhirnya berjaya menetapkan tarikh pembukaannya sekurang-kurangnya buat kali kesembilan.

Jumaat lalu, Pengarah Lapangan Terbang Engelbert Lütke Daldrup, berikrar yang lapangan terbang itu akan dibuka pada 31 Oktober 2020.

Menyoroti susur masa pembinaan lapangan terbang tersebut, pecah tanah projek berkenaan dilakukan pada September 2006 sekali gus menjadi satu lambing kejayaan kepada pihak kerajaan yang sebelum ini terpaksa berdepan dengan pertelingkahan di antara pemaju dan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.

Sekumpulan penduduk menyaman projek berkenaan dengan alasan ia akan menyebabkan bunyi terlalu bising, mereka bagaimanapun kalah kes tersebut.

Pada tahun berkenaan juga, kerajaan menyemak semula anggaran asal kos sebanyak 1 bilion euro yang dibuat pada 1999 sebanyak sekali ganda.

Lapangan terbang tersebut dijadualkan dibuka pada Oktober 2011.

Selepas beberapa gagal memenuhi tarikh akhir, pihak berkuasa akhirnya dipaksa untuk menetapkan tarikh pembukaan pada Jun 2012.

Sebuah majlis gilang-gemilang telah dirancang dengan kira-kira 4,000 tetamu dijemput untuk memeriahkan parti berkenaan.

Canselor Jerman, Angela Markel pula dijadualkan memotong reben sebelum penerbangan pertama tiba.’

Namun begitu, kira-kira beberapa minggu sebelumnya, majlis tersebut terpaksa dibatalkan dengan alasan ada “masalah teknikal” dengan peralatan keselamatan kebakaran, dipercayai pengesan asap.

Tarikh baharu ditetapkan pada Mac 2013 dan kemudiannya ditangguhkan ke bulan Oktober tahun yang sama.

Berhadapan dengan pelbagai masalah pembinaan, pihak pengurusan membuat keputusan untuk menutup lapangan terbang yang hampir siap itu buat beberapa tahun.

Akhirnya, masalah sebenar didedahkan iaitu 600 dinding pengadang api dipasang secara tidak betul dan menyebabkan ia perlu dipasang semula atau dirobohkan.

Manakala sistem pengaliran udara di beberapa panel siling pula terlalu berat.

Syarikat Belanda yang membina sistem perlindungan tersebut, Imtech akhirnya diisytiharkan bankrap manakala seorang pegawai kanan lapangan terbang kemudiannya mengaku mengambil rasuah sebanyak 150,000 euro daripada Imtech.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast