Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Golongan miskin di negara ini dinasihatkan agar tidak terus menunggu bantuan kewangan daripada kerajaan semata-mata.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mereka harus menukar gaya hidup daripada mendapatkan bantuan kepada berusaha sendiri agar keluar daripada kemiskinan.

“Tukarlah cara kita menerima masalah kita dan mengatasi masalah kita khusus yang berkenaan dengan kemiskinan janganlah tertunggu-tunggu supaya dapat diberi bantuan kewangan.

“Sebaliknya, jika mereka dapat menambah pendapatan mereka dengan usaha mereka sendiri maka terpulanglah kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya dalam ucapan sempena Himpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Perdana Putra hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata untuk mengatasi kemiskinan bukan dengan kerajaan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ataupun beri duit percuma, sebaliknya dengan menggunakan daya usaha golongan miskin itu sendiri.

“Kalau mereka berusaha sendiri dengan bantuan kemudahan oleh pihak kerajaan sendiri memberi pinjam wang modal umpamanya dan mengadakan tunjuk ajar mengadakan latihan berkenaan dengan perniagaan, saya yakin mereka yang miskin sekarang ini dapat menambah pendapatan mereka.

“Sebab itulah kita bentuk dasar baru ini Wawasan kemakmuran bersama selagi mereka yang ketinggalan tidak sambut baik cara dan strategi ini selama itulah mereka akan terus miskin dan ini tidak baik bagi pembangunan negara kita,” katanya.

Golongan miskin menurut Mahathir, mempunyai banyak masa untuk melakukan kerja-kerja lain bagi menambahkan pendapatan mereka.

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan apa bidang-bidang kerja yang boleh diisi oleh golongan berkenaan.

“Mereka yang miskin mempunyai masa yang panjang untuk melakukan kerja-kerja lain, jadi ini adalah kerja kerajaan untuk mengenalpasti apa kerja-kerja lain dan perniagaan lain yang boleh diusahakan oleh golongan miskin,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast