Joseph Muscat

MOSCOW – Perdana Menteri Malta Joseph Muscat pada Ahad mengumumkan peletakan jawatannya di tengah-tengah pergolakan politik ekoran pembunuhan wartawan Daphne Caruana Galizia, lapor agensi berita Sputnik.

“Kami sedang memulakan proses untuk melantik perdana menteri baharu yang akan meneruskan pentadbiran negara,” kata Muscat dalam ucapannya yang disiarkan televisyen, memetik akhbar Times of Malta.

Muscat berkata beliau telah mengarahkan parti pimpinannya Parti Buruh memulakan proses memilih pemimpin baharu untuk menggantikannya bermula 12 Januari.

Perkembangan terbaru itu susulan krisis politik yang tercetus di negara pulau Mediterranean berhubung siasatan kes pembunuhan wartawan yang sering membongkarkan isu rasuah. Siasatan kes pembunuhan itu kini di peringkat akhir.

Pada sidang akhbar hujung bulan lalu, Muscat memberitahu pemberita beliau bertekad untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga siasatan tamat.

Sehari sebelum itu, ahli perniagaan Malta Yorgen Fenech yang ditahan pada 20 Nov ketika cuba melarikan diri, didakwa terbabit dalam kes pembunuhan berkenaan.

Krisis politik itu juga menyaksikan beberapa pegawai kanan kerajaan meletakkan jawatan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Fenech.

Caruana Galizia sedang menyiapkan laporan mengenai kegiatan syarikat Fenech yang membuat pembayaran kepada 17 ahli politik, lapan bulan sebelum kematiannya. Beliau dibunuh dalam satu kejadian letupoan bom kereta di luar rumahnya di Bidnijanya pada Oktober 2017.

Wartawan itu terkenal kerana banyak membongkar kes rasuah di Malta menerusi siri laporan dikenali Panama Papers, mendedahkan amalan kewangan haram yang dilakukan pegawai dan tokoh masyarakat.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast