Eshaq Jahangiri. foto Agensi

DUBAI – Iran masih menjual minyaknya meskipun Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan ke atas eksportnya.

Naib Presiden Iran, Eshaq Jahangiri berkata, tekanan maksimum Washington ke atas Tehran gagal.

“Meskipun berdepan tekanan Amerika…dan melaksanakan sekatan ke atas eksport minyak kita, Tehran masih terus menjual minyak menggunakan kaedah lain…biarpun negara-negara sahabat telah berhenti membeli minyak kita kerana khuatir dengan penalti Amerika.

“Mereka gagal mensifarkan eksport Tehran seperti yang dirancangkan,” kata Jahangiri.

Hubungan antara dua musuh itu telah mencapai tahap krisis tahun lalu selepas Presiden Donald Trump menarik semula perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa-kuasa dunia untuk menghalang program nuklear Tehran.

Bercakap pada sebuah acara di Kentucky pada hari Isnin lalu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, sekatan ke atas Tehran telah berkesan, mengakibatkan pengurangan kekayaan Iran dan keupayaan untuk berdagang dengan seluruh dunia.

“Khabar baiknya adalah, walau apa yang dikatakan dunia kepada Presiden Trump bahawa sekatan Amerika tidak akan berfungsi, dunia silap. Sekatan ini sangat berkesan, “kata Pompeo.

Washington telah mengembalikan sekatan dengan tujuan menghentikan semua eksport minyak Iran.

Pendekatan itu juga bertujuan memaksa Iran untuk berunding bagi mencapai kesepakatan yang lebih luas. Tetapi kuasa dunia lain yang menandatangani perjanjian nuklear 2015 tidak mengenakan sekatan mereka sendiri.

Tehran bertegas untuk berunding selagi Washington tidak mengembalikan semula perjanjian nuklear dan menarik semua sekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast