Pengerusi Sektretariat Gabungan Silat Pertahan, Sahruddin Isa (lima kiri), Presiden Perkid Malaysia, Masridzi Sat (lima kanan), dan Peguam, Khairul Azam Aziz bergambar sambil menunjukkan laporan polis terhadap himpunan bekas Ahli PKM di Kajang yang telah diadakan semalam 1hb Disember 2019 di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Brickfields, Jalan Travers, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam membuat laporan polis secara berasingan mengenai perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang memperingati Perjanjian Damai Hatyai di Kajang semalam.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Silat Pempertahankan Perlembagaan (Pertahan), Saharuddin Esa berkata, pihaknya mendesak polis dan Kementreian Dalam Negeri agar semua anggota PKM itu disiasat memandangkan rakyat yang cintakan keamanan negara mula risau dengan anasir komunis yang muncul secara tiba-tiba.

“Kita mahu desak pihak berkuasa menyiasat perkara ini baik tersurat ataupun tersiratnya agenda di sebalik perhimpunan mereka di Kajang kerana ini bukan perkara kecil dan mendesak supaya hal ini diberi perhatian jelas dan tegas.

“Rakyat mula meluahkan kebimbangan apa yang sudah berlaku kepada puak berkenaan yang merupakan penyokong komunis yang wujud dan memunculkan diri secara tiba tiba,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields malam tadi.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat; pemimpin Armada Melayu Badar Bandar Tun Razak; PSSGM Negeri Pahang, Parti Bumiputera Perkasa, Muafakat dan Aktivis Busana Melayu.

Sementara Masridzi berkata, beliau risau perhimpunan bekas pejuang komunis cuba menghidupkan semula sentimen musuh negara yang pernah melakukan kekejaman kepada rakyat dan pasukan keselamatan negara.

Menurutnya dengan wujudnya gerakan membawa abu mayat pemimpin mereka, Chin Peng, secara senyap diikuti gerakan memperingati agenda komunis seolah mengiktiraf musuh negara itu sebagai pejuang kebebasan.

“Kerajaan dan polis kalau anda boleh berlaku tegas terhadap radikal Islam yang hanya memiliki buku sahaja telah dipenjarakan, isu Adib yang belum ada keadilan, dan ditambah luka Islam usaha edarkan komik di sekolah seolah-olah menghasut pelajar sebagai iktiraf komunis sebagai pejuang.

“Kini disusuli bawa abu mayat serta himpunan di Kajang mengumpulkan gerakkan sentimen sebagai memperingati kononnya mereka seolah pejuang negara yang mesti dihargai.

“Ini adalah penghinaan kepada pasukan keselamatan kita yang telah berjuang hapuskan komunis sehingga terkorban nyawa mereka demi negara.

“Tidak guna pemimpin negara bersumpah di hadapan Yang DiPertuan Agong menjaga keamanan tapi gagal tangani ancaman ini maka kami gerakkan gelombang laporan polis ini, dan mendesak semua NGO dan pemimpin di mana sahaja berada pergi buat aduan dan tunjukkan taring anda sebagai bantu polis bertindak menahan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, laporan polis yang dibuat para NGO hari ini sejajar dengan arahan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terkejut dan risau mengenai perhimpunan itu.

Beliau turut mempersolkan bagaimana kumpulan bekas anggota PKM itu tiba-tiba berkumpul dan berbangga membuat pengumuman berjaya bawa balik abu Chin Peng.

“Justeru kita juga mahu polis siasat perancangan licik mereka itu disamping aduan dibuat ke atas ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu kerana mengapa dia sebagai pemimpin kerajaan dari parti DAP boleh hadir ke perhimpunan itu.

“DAP dikuasai kerajaan dan dominan sebab itu nak tahu adakah Ronnie Liu agen pihak kerajaan memberi pengiktirafan kepada PKM supaya dihidupkan kembali.

“Ini peristiwa membimbangkan rakyat kita dan menggores hati perajurit dan ahli keluarga yang terkorban di tangan kekejaman komunis dan saya akan memantau laporan polis ini disiasat serius dan tidak dibakul sampah atau pihak berkuasa akan disaman,” katanya.

Pemimpin-pemimpin NGO itu sepakat mendesak polis menyiasat pengakuan Ronnie Liu bahawa abang dan mendiang datuknya adalah pejuang komunis.

Mereka juga mahu siasatan dilakukan ke atas semua yang hadir pada perjumpaan itu kerana ia mampu memberi maklumat kepada pembunuhan beberapa pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Perak sekitar tahun 60an dan 80an. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast