KUALA LUMPUR – MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) menawarkan promosi musim cuti ke atas Caj Terminalnya (TC) kepada semua pelanggan mereka di Pusat Kargo Termaju (ACC) KLIA dan Pusat Kargo Pulau Pinang (PCC).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ibrahim Mohamed Salleh berkata, pelanggan boleh menikmati sehingga 25 peratus diskaun sekilogram untuk semua kargo eksport terurai yang dikemukakan antara 23 Disember 2019 dan 3 Januari 2020.
“Tawaran hebat ini terpakai kepada kargo Malaysia Airlines dan Syarikat Penerbangan Pelanggannya yang menggunakan terminal MASkargo di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, penerbangan pesawat kargo syarikat itu telah mencapai 87 peratus Prestasi Tepat Masa berbanding 80 peratus mengikut standard industri.
Selain itu, prestasi operasi MASkargo sebanyak 0.003 peratus di bawah standard industri sebanyak 0.5 peratus.
“Ini antara cara yang inovatif untuk mengiktiraf pelanggan setia kami dan rakan kongsi perniagaan di ACC, Kuala Lumpur dan PCC, Pulau Pinang atas sokongan mereka sepanjang tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette