Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Sebarang spekulasi tentang kerajaan pintu belakang yang dikaitkan dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO perlu dihentikan sebaik sahaja perhimpunan agung parti itu yang berakhir hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gesaan itu dibuat kerana parti ini sudah pun menyelesaikan masalah tersebut.

“Biarpun luar sana banyak analisis terhadap ahli UMNO dan BN tapi seperti yang saya nyatakan tadi secara muktamad, 38 Ahli Parlimen dan 3 lagi BN, di mana kita telah menyantuni semua masalah sebelum ini.

“Dan kita sudah pastikan semua masalah akan diselesaikan secara bersama. Kita harap dengan dimuktamadkan pendirian rasmi ini, semua spekulasi dah pendapat bercanggah di luar sana dinoktahkan mula hari ini,” katanya ketika sidang media.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019) sebentar tadi, Ahmad Zahid sekali lagi memberi jaminan bahawa kesetiaan semua ahli Parlimen UMNO adalah bersama parti itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua perwakilan dan ahli UMNO tidak terpengaruh dengan cerita-cerita yang tersebar di media sosial dan pihak-pihak yang cuba menghasut dan memburukkan dalaman parti.

Tambah beliau, kesemua pimpinan UMNO sebulat suara untuk menuju ke Putrajaya hanya dengan menggunakan satu pintu sahaja iaitu pintu depan.

“Janganlah dengar cerita-cerita dalam sosial media, cerita-cerita daripada batu api terhadap rakan-rakan yang menjadi Ahli Parlimen yang dikatakan cuba untuk melakukan perbincangan dengan seseorang dari pintu belakang.

“Saya telah bertemu mereka dan mereka sudah memberi jaminan akan tetap sebagai Ahli Parlimen UMNO dan BN.

“Insya-Allah kita berikrar, kita bersatu hati hanya melalui pintu hadapan untuk membentuk kerajaan,” katanya lagi.

Dalam ucapan dasarnya ketika merasmikan PAU2019 semalam, Ahmad Zahid turut menyebut tidak akan ada pintu belakang dalam usaha parti pembangkang itu kembali menjadi kerajaan.

Bukan sahaja beliau, perkara itu turut disokong oleh Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita Datuk Dr Noraini Ahmad dan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan.

Selain itu, para perwakilan UMNO yang menyertai perhimpunan kali ini turut senada.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast