Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR- Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, mendapat sambutan menggalakkan dengan peserta dari 52 negara mengesahkan kehadiran mereka sehingga kini.

Setiausaha Agung Bersama Sidang Kemuncak KL, Tan Sri Samsudin Osman berkata, persiapan untuk perhimpunan berkenaan telah dilakukan sejak beberapa bulan lepas.

“Alhamdulillah setakat ini kita ada lebih 400 peserta yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir termasuk lebih 250 dari luar negara.

“Peserta luar datangnya dari 52 negara (setakat ini), memang saya pun tak sangka begitu banyak (negara),” katanya ketika ditemu bual mengenai penganjuran sidang kemuncak itu dalam program ‘Assalamualaikum’ terbitan TV Alhijrah yang merupakan penyiar rasmi persidangan itu.

Sidang kemuncak yang akan berlangsung mulai 18 hingga 21 Dis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bertujuan, antara lain, membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu serta yang boleh digunakan untuk masalah yang menimpa dunia Islam, dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara-negara Islam.

Sidang kemuncak itu juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula tamadun Islam.

Samsudin berkata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Iran Hassan Rouhani dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dijangka menyertai Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang kemuncak itu.

Dr Mahathir merupakan Pengerusi Sidang Kemuncak KL.

“Jadi pada 19 Disember ini kita akan menyambut kehadiran empat pemimpin luar berkenaan, selain ramai lagi kenamaan dari negara lain untuk sesi perasmian Sidang Kemuncak Kuala Lumpur,” kata Samsudin.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan sidang kemuncak berkenaan.

Sementara itu, Samsudin berkata Dr Mahathir telah terlibat dengan intelektual, ulama dan pemikir Islam mengenai cara untuk mengatasi masalah yang mempengaruhi dunia Islam walaupun semasa beliau berada di luar kerajaan.

Daripada interaksi berkenaan, kata beliau, Dr Mahathir melihat perlu untuk diadakan pertemuan seperti Sidang Kemuncak KL.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast