Lefthanded ketika membuat persembahan Sunday Night Live di Hard Rock Cafe KL, baru-baru ini. Kredit foto: Syafiq Shafiq Shahar

KUALA LUMPUR – Malam yang kedinginan akibat  hujan lebat sejak tengahari pada Ahad lalu dihangatkan dengan persembahan penuh tenaga band rock lagenda, Lefthanded di Hard Rock Café Kuala Lumpur.

Membuka persembahan Sunday Night Live dengan trek-trek rancak Rock n Roll seperti Alam dan Pencipta, Bertemu Di Dalam Rock n Roll dan Lagenda Cinta, lontaran suara penyanyi utamanya, Datuk Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias masih lagi padu.

Berpengalaman hampir 40 tahun menghiburkan peminat di atas pelbagai pentas, Nash dan pemain gitar utamanya, Man Kidal tidak kekok menghiburkan para peminat yang merindui kumpulan tersebut selepas hampir empat tahun tidak membuat persembahan bersama.

Bagaikan sebuah reunion, Lefthanded pada malam tersebut hanya dibarisi ahli asal Nash dan Man Kidal sambil dibantu oleh Halizo Fly selaku pemain gitar/bassist, Riz (gitar), Roza Rio (keyboard) banyak berkongsi pengalaman masing-masing ketika meniti puncak kejayaan.

Mereka juga tidak henti-henti mengucapkan penghargaan kepada lagenda muzik rock negara, Datuk Ramli Sarip yang merupakan penerbit album-album kumpulan berkenaan.

Pemergian pemain drum Lefthanded, Allahyarham Man Dayak beberapa tahun lalu masih dapat dirasai.

Masih jelas sayu suara Nash ketika bercerita mengenai ahli asal kumpulan berkenaan namun kehadiran anak allahyarham, Hafiz Rahman yang mengambil kedudukan bapanya itu pastinya menerbitkan rasa bangga “pakcik-pakciknya” pada malam itu kerana legasi Man Dayak tidak terkubur.

Hafiz Rahman merupakan legasi Allahyarham Man Dayak yang menyertai konsert Lefthanded.

Lagu Maya Persada yang merupakan lagu kegemaran Allahyarham turut didendangkan pada malam itu sebagai tribute kepada sahabat kesayangan mereka itu.

Tiada Lefthanded jika tiada Man Kidal. Pemain gitar utama dan penulis lagu kumpulan tersebut meskipun tidak banyak berceloteh namun petikan gitarnya cukup memukau.

Setiap kali beliau “menggoreng” seluruh Hard Rock bagaikan terdiam sebelum masing-masing bersorak menyatakan kekaguman kepada pemain gitar bertangan kiri itu.

Man Kidal memilih lagu Qabul dan Jeritan Batinku bagi segmen gitar solo.

Persembahan bertenaga selama dua jam itu dihidangkan dengan lagu Seruan, Keadilan, Arah yang Hilang, Cinta Tiga Dimensi, Ku Di Halaman Rindu, Tiada Lagi Kidunganmu dan Kenangan Bersamamu yang pastinya membuatkan setiap penonton terlupa jam sudah menginjak hampir 1 pagi manakala esoknya adalah hari Isnin.

Lefthanded turut menampilkan pendatang baharu, AJ dan apa yang lebih mengujakan apabila Ramli yang merupakan tulang belakang kejayaan Lefthanded sudi menyumbangkan suara dengan menyanyikan lagu Istilah Bercinta.

Beliau juga mengambil kesempatan menceritakan serba sedikit latar belakang lagu-lagu popular nyanyian Lefthanded seperti Qabul yang diilhamkan daripada peperangan Rusia dengan Afghanistan manakala lagu Seruan ketika azan subuh berkumandang.

Sunday Night Live yang menampilkan Lefthanded pada 1 Disember itu adalah susulan kejayaan persembahan oleh Wings dua minggu sebelum itu.

Ia adalah sempena sambutan ulang tahun ke-21 Hard Rock Café Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast