KUALA LUMPUR – Para penyokong dan ahli PKR peringkat akar umbi disarankan supaya bersiap sedia untuk meneruskan perjuangan parti sebagai wadah utama.
Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Hilman Idham berkata, ketika ini terdapat pihak yang cuba meremehkan perjuangan PKR.
“Biarpun kita tak dibenarkan masuk dalam dewan di Melaka, kita akan teruskan perjuangan di akar umbi parti dan bersiap siaga juga kerana dalam perjuangan ini apabila ada sahaja pihak cuba meremehkan perjuangan, kita harus segera berdiri teguh dan menyatakan kebenaran.
“Ini penting supaya perjuangan ini disokong rakyat sekaligus mereka mengangkat dan memartabatkan keadilan sebagai parti masa depan mereka,” katanya dalam Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di ibu negara.
Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dua Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Thian Chua; Ketua Wanita, Haniza Talha dan Pengerusi PKR Selangor yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shaari.
Tambah Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, segala yang berlaku pada Kongres PKR Nasional di Melaka menunjukkan wujud krsis kepimpinan yang serius ketika ini.
“Sebab itu untuk berdepan krisis kritikal ini, saya ingin mengajak seluruh pejuang Keadilan supaya kembali semula kepada idealisme dan prinsip perjuangan keadilan dahulu.
“Petang ini kita harus menyahut semua matlamat dan misi Keadilan supaya parti ini menjadi relevan dan terus diyakini rakyat.
“Janganlah kita cepat kecewa, hilang semangat dan gunda gulana dengan apa yang berlaku, saya percaya sebesar manapun krisis yang kita sedang hadapi sekarang, sebenarnya lebih besar krisis baharu untuk kita depani iaitu krisis keyakinan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette