Presiden Profima, Khir Mohd Noor (empat kiri) bergambar bersama Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (empat kanan), bekas Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman (kiri), Timbalan Presiden Seniman, Zuraini Kassim (dua kiri), Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia, Muhammad Dean Law Abdullah (tiga kanan) pada sidang media isu Finas di Restoran Al Andalus, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan pengkarya filem sebulat suara menggesa Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tugasnya.

Selain didakwa mengganggu tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Ahmad Idham, Hans juga dikatakan banyak mempengaruhi mempengaruhi Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo dalam membuat keputusan.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Khir Mohd Noor yang turut mewakili Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT), Persatuan Sinematografi (MySC), Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) dan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) membuat gesaan itu dalam satu sidang media hari ini.

Presiden Profima, Khir Mohd Noor bercakap pada sidang media isu Finas di Restoran Al Andalus, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 DISEMBER 2019.

Menurut mereka, Hans gagal meneraju dan membawa visi jelas dalam Finas malah cuba membawa kroninya masuk ke dalam badan tersebut seterusnya menjadi punca kontrak Ahmad Idham dipendekkan.

“Sekarang banyak kelemahan, CEO Finas (Ahmad Idham) baru mahu bertugas sudah diberhentikan pengerusi (Hans). Macam kera dapat bunga saya tengok lagaknya.

“Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac juga banyak mempengaruhi menteri (Gobind) untuk sesuatu perkara yang dibawa Ahmad Idham dan ahli lembaga pengarah yang banyak orang-orang pengerusi.

“Persatuan sebulat suara menggesa Hans Isaac letak jawatan sebagai Pengerusi Finas,” katanya lagi.

Semenjak menjadi Pengerusi Finas, menurut Khir, timbul kecurigaan dalam kalangan barisan pengkarya filem yang melihat seolah-olah badan itu terpecah dua.

Ada satu puak yang menyokong Hans dan kumpulan yang menyebelahi Ahmad Idham.

Bagaimanapun, Hans semalam menafikan beliau ada konflik dengan Ahmad Idham.

BACA: Hans nafi wujud konflik dengan Ahmad Idham

Sementara itu, wakil  Persatuan Sinematografi Malaysia (MySC) Mohd Filus Ghazali berpendapat, Ahmad Idham sepatutnya diberi tempoh masa yang lama sekurang-kurangnya lima tahun untuk melaksanakan perancangannya.

Setiausaha Agung MySC, Mohd Filus Ghazali bercakap pada sidang media isu Finas di Restoran Al Andalus, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 DISEMBER 2019.

“Apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam  (Finas) adakah benar kepimpinan tidak sebulu? Seolah-olah ada wujud puak. Setidak-tidaknya berilah CEO tempoh lima tahun,  11 bulan tidak cukup,” katanya lagi.

Gagal membawa perubahan dan dasar yang efektif ke dalam Finas semenjak menerajui KKMM  justeru tujuh persatuan itu juga menggesa  Gobind dipindahkan daripada portfolio tersebut, kata Mohd Filus.

“Finas gagal wujudkan dasar efektif, Finas juga langsung tidak bergerak hanya menekankan perkara yang remeh dan yang tidak sepatutnya.

“Kami desak juga jawatan dan Gobind digugurkan dari portfolio KKMM,” ujar wakil daripada Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT) Isazaly Mohd Isa pula dalam sidang media yang sama.

Wakil Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT), Isazaly Mohd Isa pada sidang media isu Finas di Restoran Al Andalus, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 DISEMBER 2019.

Sekiranya kedua-dua tuntutan mereka gagal dipenuhi, persatuan-persatuan berkenaan tidak teragak-agak untuk mengadakan piket di hadapan pejabat KKMM kelak.

Semalam, Finas dalam kenyataan mengesahkan meluluskan permononan Agmad Idham untuk memendekkan kontraknya kepada 10 Mac 2020.

Dilaporkan beliau membuat keputusan tersebut akibat  tekanan daripada pihak tertentu.

Pengarah filem dan pelakon itu dilantik menjadi CEO Finas pada 14 Mac yang lalu yang sepatutnya berkuatkuasa selama dua tahun.

Kedudukannya kemudian menjadi tanda tanya selepas kenyataannya yang menggesa kerajaan menapis kandungan Netflix dipertikaikan pelbagai pihak.

Ada juga yang mempertikaikan kemampuannya untuk memajukan lagi industri seni tanah air.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahmad Idham mohon pendek perkhidmatan CEO Finas

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast