Ahmad Idham.

KUALA LUMPUR – Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah meluluskan permohonan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan kepada 10 Mac depan atas alasan peribadi.

Unit Komunikasi Korporat Finas dalam satu kenyataan menjelaskan, Finas merakamkan penghargaan kepada Ahmad Idham atas segala sumbangan sepanjang perkhidmatan.

“Finas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Idham atas sumbangan sepanjang perkhidmatan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau pada masa hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas berkuat kuasa 11 Mac lalu.

Ketika itu, pelantikan Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kreatif adalah bagi tempoh dua tahun.

Baru-baru ini, polemik tercetus apabila Ahmad Idham menggesa kerajaan menapis kandungan Netflix.

Beliau turut menyarankan kerajaan mewujudkan akta mengawal selia kandungan video yang disediakan platform digital berkenaan.

Namun, kenyataan Idham menerima pelbagai reaksi termasuk keterangan balas bagaimana pengguna boleh melakukan tapisan sendiri terhadap kandungan platform penstriman video berkenaan.

Ketika mengulas isu berkenaan, Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dilaporkan berkata, beliau mahu berlaku adil kepada Idham dan mendapatkan gambaran sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa yang boleh mengeruhkan keadaan. – MalaysiaGazette