CAAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan keputusan Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk menggabungkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semata-mata untuk memperkukuhkan CAAM.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menentang keputusan tersebut kerana seolah-olah MoT memberi CAAM kuasa kuasa mengawal aspek teknikal dan ekonomi industri penerbangan awam.

Tegasnya, MoT jangan lupa apabila penarafan CAAM diturunkan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan mereka telah melakukan kajian terhadap badan itu dan mendapati CAAM tidak mempunyai tenaga kerja (jurutera dan juruterbang yang berpengalaman) dan kakitangan yang mereka miliki kurang berpengalaman dan dibayar gaji yang rendah.

Penurunan penarafan CAAM itu sebahagiannya juga disebabkan oleh ketidakupayaan MoT untuk melakukan perubahan yang diperlukan dalam CAAM supaya mereka dapat berfungsi sebagaimana yang sepatutnya.

Oleh itu, soal Mohideen, mengapa badan pengawalseliaan yang berfungsi dengan baik harus dibubarkan bagi memihak kepada badan pengawalseliaan yang bergelut, tidak efisien dan tidak cekap.

Lagipun, CAAM pula berada di bawah bidang kuasa MoT.

“Sebagai NGO yang berurusan dengan isu-isu pengguna, kita dapat melihat dengan jelas bahawa kebajikan pengguna penerbangan telah diurus dengan baik oleh Mavcom bagi memastikan syarikat penerbangan dan lapangan terbang memenuhi tanggungjawab mereka.

“Kami juga percaya Mavcom boleh berfungsi periksa dan imbang yang baik kepada MoT kerana mereka tidak menjawab menteri tetapi terus kepada Parlimen.

“Ini selaras dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan tadbir urus yang baik dan bukannya membawanya kepada kawalan MoT.

“Mavcom juga tidak mendapat pembiayaan daripada kerajaan tetapi hanya dibiayai oleh hanya RM1 dari setiap penumpang penerbangan,” tambahnya.

Katanya, perkara ini merupakan butiran yang diberi penekanan oleh CAP dalam suratnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai alasan mengapa Mavcom perlu dipertahankan.

Mohideen berkata, surat penentangan terhadap cadangan itu sudah pun dihantar pada minggu ini dan berharap sebarang keputusan menggabung atau membubarkan Mavcom tidak akan diambil untuk memenuhi kepentingan tertentu.

Ini kerana, katanya, keputusan berkenaan kedengaran seperti CAAM yang tidak berfungsi dengan baik tetapi Mavcom perlu dikorbankan.

Jelasnya, keputusan MOT sangat mengecewakan kerana menunjukkan menteri berkenaan berpandangan cetek.

Beliau turut menuntut penjelasan MoT mengapa perlu ‘membunuh’ Mavcom berbanding mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki CAAM, agar ia sebaik Mavcom.

Soalnya lagi, apakah justifikasi yang diberikan oleh kementerian berhubung cadangan ini.

Beliau juga menyeru kerajaan untuk membatalkan keputusan untuk membubarkan Mavcom dan meminta Ahli-Ahli Parlimen untuk menentang sebarang tindakan untuk memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast