KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) diberi tempoh 30 hari untuk menjelaskan berhubung sembilan kesalahan yang boleh menyebabkan persatuan itu dibatalkan.

Notis itu telah diberikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam surat kepada MATTA bertarikh 12 Disember lalu.

MATTA didakwa telah melanggar Klausa 4.1.2 Perlembagaan MATTA kerana membenarkan ahli yang lesennya telah tamat tempoh hadir dalam mesyuarat agung tahunan yang diadakan pada 13 Julai lalu.

Selain itu, MATTA telah sengaja melanggar Klausa 4.1.2 dan 8.4.12 kerana membenarkan Setiausaha Agung Kehormat bagi penggal 2017/2019 menjalankan tugasnya dalam tempoh lesennya telah ditamatkan.

Selain itu, MATTA telah sengaja melanggar Klausa 7.1.3.1.3 Perlembagaan MATTA kerana membentangkan dan meluluskan Penyata Kira-Kira Chapter Selangor dalam mesyuarat agung ke-44 yang mana ia sepatutnya dibentang dan diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan Chapter Selangor.

MATTA juga didakwa menafikan hak ahli untuk usulnya dibahaskan di dalam mesyuarat agung tahunan ke-44 walaupun usul tersebut telah dihantar kepada Setiausaha Agung Kehormat 42 hari sebelum berlangsungnya mesyuarat.

Persatuan itu didapati pelanggar Perlembagaan MATTA kerana membenarkan ahli yang tidak memegang jawatan di dalam Chapter Committee Kuala Lumpur dalam penggal 2013/2015 bertanding dan memegang jawatan Chapter Chairman Kuala Lumpur bagi penggal 2015/2017.

Ia juga sengaja melanggar Perlembagaan MATTA kerana surat yang memohon Chapter Chairman Selangor bagi penggal 2017/2019 melepaskan jawatan ditandatangani oleh seorang yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Eksekutif.

MATTA telah sengaja melanggar perlembagaannya kerana penyata kira-kira berakhir 31 Disember 2018 dibentang dan diluluskan di dalam mesyuarat agung tahunan ke-44 dan bukannya pada mesyuarat agung tahunan Chapter Selangor.

Persatuan itu turut didapati tidak mempertimbangkan usul ahli untuk dibahaskan di dalam mesyuarat agung tahunan ke-44 walaupun usul tersebut telah dihantar secara bertulis kepada Setiausaha Agung Kehormat, 42 hari sebelum mesyuarat berlangsung.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Penolong Pendaftar RoS, Zairul Akmal Kasim.

Surat berkenaan dialamatkan di Wisma MATTA di Jalan Metro Pudu 2, Fraser Business Park, off Jalan Yew, Kuala Lumpur.

Salinan surat berkenaan turut dihantar kepada Pengerusi MATTA, Datuk Tan Kok Liang dan Bendahari Kehormat, Mohammad Faeez Mohamad Fadhiliah.

Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan surat berkenaan sudah tular dalam kalangan ahli-ahli MATTA.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis MATTA belum mengeluarkan sebarang kenyataan kepada hampir 4,000 ahli-ahlinya di seluruh negara. – MalaysiaGazette