Pasukan mencari dan menyelamat berada di kawasan letusan gunung berapi Pulau Putih bagi mengesan dua lagi mayat. foto Reuters

WELLINGTON – Pasukan penyelamat New Zealand telah kembali ke Pulau Putih, lokasi letusan gunung berapi tetapi gagal mengesan dua lagi mayat.

Setakat ini angka kematian akibat tragedi itu meningkat kepada 16 orang.

Pihak berkuasa berkata, pasukan mencari dan menyelamat berada selama 75 minit di kawasan tersebut, yang didakwa terdapat satu mayat mungkin masih di sana.

“Kami tidak menjumpai mayat lagi di kawasan itu,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Mike Clement pada sidang media pada hari Ahad.

Jumaat lalu, enam daripada lapan mayat berjaya dibawa keluar dari pulau itu oleh pasukan tentera New Zealand.

Polis berkata, mereka tetap komited untuk mencari kedua-dua mayat-mayat tersebut.

Pasukan penyelam polis dan tentera masih meneruskan penjelajahan di sekitar perairan pulau itu.

“Semua orang pergi ke sana benar-benar terdesak untuk mencari mayat dan mengembalikannya kepada keluarga mereka,” kata Clement.

Pada hari Sabtu, para penyelam berhadapan dengan perairan yang tercemar dan penglihatan yang rendah ketika mereka mengelilingi pulau itu.

Gunung berapi, destinasi popular di pulau tersebut meletus pada hari Isnin, memuntahkan abu, wap dan gas.

Semasa ia meletus terdapat kira-kira 47 orang di pulau itu yang terdiri daripada pelancong Australia, Amerika Syarikat, Jerman, China, British dan Malaysia.

Jumlah kematian meningkat kepada 16 pada hari Ahad selepas seorang lagi meninggal dunia di hospital Australia.

Semalam, salah seorang mayat yang dipindahkan dari kawasan letusan dikenal pasti sebagai Krystal Browitt, 21. Dia adalah warga negara Australia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast