SEOUL – Korea Utara berjaya menjalankan satu lagi ujian di tapak pelancaran satelit – perkembangan terbaru dalam rentetan bertujuan untuk “menghalang dan mengatasi ancaman nuklear Amerika Syarikat.
Agensi berita KCNA yang memetik jurucakap Akademi Sains Pertahanan berkata, ujian itu dijalankan pada hari Jumaat di tapak pelancaran satelit Sohae.
Namun, tidak jelas ujian yang dijalankannya.
Dalam satu kenyataan kemudian yang dibawa oleh KCNA, Ketua Staf Umum Pak Jong Chon berkata, ujian itu untuk memperkukuhkan pertahanan Korea Utara dengan membangunkan senjata baru.
“Data yang tidak ternilai, pengalaman dan teknologi baru yang diperolehi dalam ujian penyelidikan sains pertahanan baru-baru ini akan digunakan sepenuhnya untuk pembangunan senjata strategik Korea Utara, yang antara lain memastikan dan mengatasi ancaman nuklear Amerika Syarikat,” katanya.
Ia merupakan ujian kedua di kemudahan Sohae dalam masa seminggu.
KCNA pada hari Ahad mengatakan Korea Utara telah melakukan ujian yang “sangat penting” pada 7 Disember di tapak peluncuran satelit, satu kemudahan ujian roket yang pernah didakwa oleh Amerika Syarikat akan ditutup.
Laporan KCNA itu menyifatkan peristiwa Disember 7 sebagai “ujian yang berjaya untuk kepentingan yang besar”.
Manakala Menteri Pertahanan Korea Selatan, Jeong Keong-doo berkata, ia adalah ujian enjin.
Ujian berkenaan dijalankan menjelang tempoh masa terakhir yang diberikan oleh Korea Utara supaya Amerika Syarikat menggugurkan desakan negara itu terhadap usaha penghapusan nuklear yang tidak konsisten.
Presiden Donald Trump telah cuba memujuk Korea Utara untuk menghentikan program senjata nuklear yang menimbulkan ancaman kepada Amerika Syarikat, tetapi kemajuan terlalu sedikit walaupun sudah tiga pertemuan diadakan dengan Kim Jong Un.
Korea Utara bersedia untuk bertindak balas terhadap semua provokasi politik dan ketenteraan oleh pasukan musuh kerana “biasa dengan kedua-dua dialog dan konfrontasi”, kata Pak.
Pak juga memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan negara-negara lain supaya berhenti melakukan provokasi terhadap Pyonhyang jika mahu akhir tahun berakhir dengan aman.
“Tentera kami bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan keputusan Ketua Pemimpin secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette