KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memohon maaf kepada penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang tak sempat menyelesaikan soal pemilikan tanah mereka kerana kesuntukan masa dan masalah birokrasi pentadbiran tanah setempat.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya memusnah harapan rakyat yang telah mengundi mereka.
Menurut Khir, tindakan memberi pemilikan tanah kepada pemaju tanpa mengambil kira faktor peneroka awal secara moralnya satu tindakan yang sangat tidak bermaruah dan tidak sepatutnya dilakukan.
“Kerajaan negeri mesti bertanggungjawab dengan keputusan mereka bukan lepas tangan begitu sahaja.
“Kerajaan negeri mesti berani memanggil semua yang terlibat bersemuka dan dapatkan penyelesaian win-win situation supaya tidak ada pihak yang menang dapat semua manakala yang kalah hancur masa depan mereka,” katanya yang mengulas tindakan merobohkan kediaman penduduk di kampung tersebut.
Menurut Khir lagi, pengalaman beliau menyelesaikan 95 peratus masalah setinggan di Selangor banyak menyedarkan beliau betapa sakit dan luluhnya perasaan rakyat apabila harapan mereka musnah dan keadaan ini akan memberi imej sangat buruk pada kerajaan.
“Harus diingat, semua tanah tanah setinggan telah diberi milik sebelum saya, ada tanah telah diberi milik kemudian baru diduduki oleh setinggan, ada juga tanah yang telah diteroka baru diberi milik pada pemaju.
“Saya tidak persoalkan pemimpin sebelum saya membuat keputusan untuk beri pemilikan tanah kepada pemaju walaupun telah ada penerokanya. Mereka mempunyai alasan tersendiri.
“Saya telah membuat panduan jelas pada tahun 2000 tidak ada lagi situasi tanah yang telah diteroka diberi pada pihak lain tanpa perbincangan dengan peneroka sedia ada,” ujarnya yang mempertahankan bahawa peristiwa Kampung Puncak ini sepatutnya tidak berlaku, lebih lebih lagi oleh kerajaan yang merasakan mereka ini adalah malaikat yg suci dan penyelamat rakyat.
Difahamkan penduduk di situ telah meneroka tanah hutan berkenaan untuk pertanian dan perumahan sejak tahun 1986.
Pada 2010, wakil penduduk telah membuat carian dan rekod serta PTG mengesahkan tiada pemilik berdaftar tanah tersebut.
Seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, dari tahun 1986 juga tiada sebarang larangan meneroka atau membina penempatan di kawasan tersebut diumumkan kerajaan negeri, sehingga tahun 2010, penduduk memohon kepada PTG Gombak untuk memohon tanah itu bagi tujuan pertanian.
Permohonan disokong oleh penghulu Mukim Rawang dan tiada sebarang penolakan diberikan dari PTG Gombak terhadap permohonan itu, manakala bekalan elektrik dan air juga diterima penduduk tanpa masalah.
Namun 2013, seorang penduduk telah membuat semakan pelan di PTG Gombak dan rekod menunjukkan tanah itu masih tiada pemilik, sehingga pertengahan 2017, sebuah syarikat Wangsa Masyhur Sdn. Bhd. (WMSB) memfailkan permohonan pemilik kosong tanah dan mahkamah memberi perintah pelaksanaan pada 5 Mei 2018.
Menurut peguam itu, WMSB mengaku telah memiliki tanah berkenaan dari kerajaan Selangor pada 2002.
Bagaimanapun, penduduk mempersoalkan kerana pada tahun itu tiada maklumat pemilikan direkodkan di PTG Gombak.
Namun, WMSB menyatakan tanah mereka telah diceroboh, sedangkan fakta menunjukkan penduduk meneroka di situ sejak 1986 dan tiada sebarang notis larangan atau pagar dibina oleh syarikat terbabit dari 2002 hingga 2017. – MalaysiaGazette
Masa berkuasa sibuk buat rumah sendiri ye tak Toyo… Dah tiada kuasa sibuk nak bela rakyat…
Iyalah dia lebih baik duk diam2, bukak mulut nanti dapat penyapu burok, lebih baik dia bantu peguam PUTRA itu senyap, zaman glamour dia sudah berakhir.