KUALA LUMPUR – Selepas melalui detik sukar kerana terlibat dengan kemalangan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Velodrom Anna Meares, Brisbane, Australia semalam, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang hari ini berkongsi keadaan kesihatannya.
Menurut Azizulhasni, setelah menjalani ujian x-ray dan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) semalam, anak kelahiran Dungun Terengganu itu memaklumkan beliau tidak mengalami sebarang kepatahan dan kecederaan teruk.
“Sedikit tentang perkembangan diri saya, syukur Alhamdulillah daripada scan yang dibuat semalam, tidak ada fractured dan major injury lain.
“Cume terdapat banyak kesan luka kulit di seluruh badan dan gegaran di kepala dan bahu kanan.
“Paling azab adalah di bahu kanan ini di mana terdapat bengkak di Acromioclavicular joint mungkin hasil hentakkan ketika jatuh atau dilanggar oleh pelumba lain,” katanya dalam hantaran terkini di Instagram @azizulhasniawang, hari ini.
Terdahulu, Azizulhasni yang sinonim dengan panggilan The Pocket Rocketman terbabit dalam kemalangan ketika saingan acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Velodrom Anna Meares, Brisbane, Australia.
Kemalangan berpunca daripada pancungan dibuat pelumba Jepun Tomoyuki Kawabata sebaik sahaja loceng dibunyi mengakibatkan dia dan pelumba Poland Krzysztov Maksel terhimpit sebelum terjatuh bersama pelumba lain.
Difahamkan ketika menulis di Instagram itu, Azizulhasni masih berada di Hospital Princess Alexandra dan baru selesai menjalani ujian x-ray dan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
Azizulhasni juga berasa terharu apabila ramai rakyat Malaysia tanpa putus-putus bertanyakan keadaan dirinya melalui laman media sosial sejak terlibat dalam kemalangan tempoh hari.
“Saya memohon maaf kepada semua kerana tak sempat nak balas satu persatu tetapi ketahuilah bahawa saya amat menghargai keprihatinan daripada anda semua dan semoga kita semua dirahmati oleh Nya,” katanya.
Azizulhasni turut tidak menolak kemungkinan dia perlu direhatkan untuk acara seterusnya memandangkan kecederaan yang dialaminya telah menghadkan pergerakannya.
“Kecederaan ini menyebabkan pergerakan saya amat terbatas dan oleh itu saya terpaksa direhatkan untuk acara Individual Sprint pada hari ini.
.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang sentiasa mendoakan diri saya, semoga kecederaan ini akan pulih dengan kadar segera dan saya dapat membuat persiapan untuk Kejohanan Dunia di Berlin pada penghujung Februari nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette