Herold Goulon (tengah).

KUALA LUMPUR – Penyokong Pahang kembali ceria selepas pemain pertahanan dari Perancis, Herold Goulon memberi bayangan dijangka kekal bersama pasukan itu pada musim akan datang.

Ini berikutan ejen kepada pemain import tersebut telah mengesahkan kontrak Goulon bersama Pahang akan disambungkan pada musim hadapan.

Melalui satu video yang dimuat naik di halaman rasmi pemain itu, Goulon kelihatan berada di dalam santai menikmati sebuah lagu yang sinonim di kalangan penyokong bola sepak.

“Hai semua. Tahukah anda? Jumpa anda dalam tempoh terdekat,” katanya.

Turut disertakan bersama video tersebut ialah tanda pagar Pahang FA yang seolah-olah memberi bayangan dia akan kembali bersama pasukan Pahang dalam masa terdekat.

Selain daripada Goulon, masa depan pemain penyerang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme turut menjadi pertanyaan penyokong pasukan Pahang.

Nwakaeme dilaporkan kembali ke negaranya untuk bercuti dan akan menentukan masa depan beliau bersama Tok Gajah selepas selesai percutian.

Pahang sebelum ini telah melepaskan beberapa pemain antaranya pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin yang kini telah memilih menyertai Selangor.

Khidmat pemain penyerang seperti Lazarus Kaimbi, Norshahrul Idlan Talaha, Sadil Ramdani dan Kogilan Raj pula turut tidak disambung untuk saingan musim 2020.

Musim lalu Pahang menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua, selain turut layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA. – MalaysiaGazette