KUALA LUMPUR- Malaysia terbuka dengan cadangan Iran supaya satu mata wang kripto bersama (common cyptocurrency) diwujudkan untuk kegunaan negara-negara Islam bagi mengurangkan pergantungan terhadap mata wang lain terutamanya dolar Amerika.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau telah lama mencadangkan satu mata wang bersama diwujudkan untuk mengurangkan pergantungan terhadap dolar bagaimanapun tidak berjaya dilaksanakan.

Katanya, setiap kali idea tersebut diutarakan, pasti terdapat halangan daripada kuasa-kuasa besar dunia.

“Kita tidak boleh selalu sangat menggunakan dolar Amerika kerana apabila kita menggunakan dolar Amerika, ada sekatan-sekatan yang dibuat untuk menjejaskan pertumbuhan ekonomi kita.

“Ini kali pertama kali kita mendengar Iran dan Turki menzahirkan pandangan untuk mewujudkan mata wang kripto bersama.

“Kalau kita tidak mempunyai dolar Amerika, kita boleh menggunakan mata wang sendiri iaitu satu mata wang dicipta hasil persetujuan semua pihak.

“Penggunaan mata wang tertentu memberi kekuatan kepada negara berkenaan, Amerika contohnya, sebuah negara yang bankrap tetapi disebabkan kita masih menggunakan mata wangnya, mereka masih kuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan meja bulat sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Selain Perdana Menteri, Presiden Iran, Hassan Rouhani serta Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut menyampaikan pembentangan masing-masing di persidangan meja bulat berkenaan.

Selain itu, kejayaan Iran terutamanya dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi memberikan inspirasi kepada Malaysia untuk belajar dengan mereka.

Menurut Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia bersedia bekerjasama dengan negara tersebut yang sudah jauh ke hadapan dalam bidang teknologi.

“Kita sudah mengetahui lebih banyak mengenai Iran yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang sains, kejuruteraan dan sebagainya.

“Saya dapati Iran dan teknologi sudah jauh ke hadapan, jadi kita boleh bekerjasama dengan mereka.

“Mereka juga sangat mengutamakan pendidikan dan ini bermakna mereka sangat menghargai ilmu.

“Mereka moden dan sudah maju ke hadapan dalam bidang ini, kita boleh bertukar-tukar pandangan dan pelajaran dengan mereka,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast