Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak mempedulikan rakyat sebaliknya mengutamakan lantikan politik dan kronisme.

Dakwaan itu dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong susulan pengumuman beberapa kenaikan cukai oleh kerajaan.

Exco Kerajaan Johor, Tan Chen Choon (DAP) mengumumkan kenaikan elaun Ahli Majlis PBT sekitar 60%-100%.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin baru mengumumkan semakan kadar cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai 1 Januari 2020.

Zuraida juga mengakui ada kenaikan sedikit dari kadar sedia ada.

“Wow! meleleh air liur rakyat jelata mendengarnya!,” katanya menerusi akaun Facebook.

Tan mendakwa, antara sebab kenaikan ini kerana tanggungjawab ahli PBT yang dikatakan semakin mencabar dan mengambil kira faktor kenaikan kos sara hidup.

Di Johor ada 15 PBT, setiap PBT ada 24 orang Ahli Majlis. Ahli-Ahli Majlis dilantik dalam kalangan empat parti komponen PH iaitu DAP, PPBM, PKR & PAN.

“Tumpang tanya, untuk 15 PBT di Johor, adakah kenaikan kadar cukai taksiran ini juga bertujuan antara lain menampung kenaikan elaun Ahli Majlis PBT?.

“Rakyat jelata dikencingkan dan lantikan politik PH serta kronisme diutamakan!,” katanya lagi.

Soal Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, agak-agaknya, bilalah giliran pekerja biasa dan penjawat awam pula dapat merasa kenaikan gaji 60%-100%?

Sebelum itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mengatakan kerajaan tidak boleh menaikkan gaji secara mendadak.

“Apakah kehidupan rakyat jelata tidak mencabar dan tidak berdepan dengan kenaikan kos sara hidup?

“Sudahlah mulai tahun hadapan, bermacam-macam jenis cukai baharu diperkenalkan!,” ujarnya.

Ka Siong berkata: “Dulu semasa menjadi pembangkang, BN nak naikkan sedikit elaun RM100 pun pemimpin PH melompat marah dan memaki hamun.

“Sekarang apa cerita? PH lagi teruk!,” tambahnya. – MalaysiaGazette