KUALA LUMPUR – Gegar Vaganza Musim Keenam (GV6) telah melabuhkan tirainya dengan sejarah tercipta apabila musim keenam adalah yang paling unik.
Bukan sahaja berlangsung paling lama iaitu 11 minggu yang mana musim-musim sebelumnya hanya 8 minggu, dua juara dinobatkan buat pertama kali iaitu Naqiu dan Hady Mirza.
Buat pertama kali juga tiada peserta yang merangkul tempat kedua malam tadi.
Ramai yang mempertikaikan keputusan tersebut, majoriti warganet yang bersuara di media sosial mendakwa ia seolah-olah tidak wajar.
Namun Ketua Juri, Datuk Ramli MS memberitahu, penjelasan kedua-dua juara itu meraih markah yang sama iaitu 87 peratus, selain beraksi hebat dan konsisten setiap minggu.
Justeru itu Ramli berkata, adalah tidak adil untuk hanya menobatkan seorang sahaja juara pertandingan tersebut.
“Selepas dicampurkan semua markah juri, Hady dan Naqiu masing-masing mendapat 87 peratus. Saya kena berlaku adil dan tidak bolehlah hendak pilih hanya seorang sebagai juara.
“Mereka memberikan persembahan yang setara dan nyanyian tidak sumbang. Atas faktor itu, saya berpendapat mereka layak bergelar juara,” katanya.
Tempat ketiga GV6 dirangkul Jatt, manakala tempat keempat pula menjadi milik Nur Fatima, One Nation Emcess di tempat kelima dan Sham Visa di tempat keenam. – MalaysiaGazette