Ramli Mohd Nor
Temubual bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor kesal dengan himpunan sekumpulan penduduk yang memprotes di Kuala Terla hari ini.

“Saya dapat memahami kekecewaan kira kira 60 pekebun kecil yang terpaksa mengosongkan tanah yang mereka usahakan atas arahan kerajaan negeri Pahang.

“Namun begitu, tindakan sekumpulan pemprotes yang mengadakan himpunan di tengah jalan raya utama telah menghalang para pelancong sedang menuju ke Tanah Rata dan Brinchang. Ada yang mengadu lebih sejam tersangkut di Kampung Raja hanya gara-gara tindakan tidak bertanggungjawab sekumpulan pemprotes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramli bimbang sekiranya dalam keadaan itu berlaku perkara kecemasan dan sudah pasti ia memburukkan lagi keadaan.

“Suka saya ingatkan, hal ehwal tanah ini berada di bawah kuasa kerajaan Negeri Pahang. Mereka boleh terus membuat rayuan atau permohonan baru untuk mengusahakan tanah tanah yang di benarkan serta mengusahakan ladang tanpa mencemarkan alam sekitar,” ujarnya.

Menurutnya, Cameron Highlands mempunyai lebih 50, 000 penduduk dan ratusan ribu pengunjung yg tidak henti henti menikmati percutian dan insiden seperti itu memberi kesan buruk kepada negara.

“Usah terlalu mudah terpengaruh dengan dakyah politik sehingga sanggup mencemarkan imej Cameron Highlands pada mata pelancong,” katanya lagi.- MalaysiaGazette