Tamayanti Raju
Penduduk, Tamayanti Raju mengemas barang-barang untuk berpindah ketika tinjauan mengenai rumah di Kampung Segambut Permai yang akan dirobohkan oleh DBKL selepas tamat tempoh mengosongkan rumah selama dua minggu di Kampung Segambut Permai, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa cuba menafikan hak enam keluarga di Segambut Permai daripada mendapatkan rumah transit di Perumahan Awam DBKL dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menurut penduduk Segambut Permai, Tamayanti Raju, keluarganya sendiri menetap dalam sebuah rumah bersama 23 ahli keluarga lain yang diwarisi daripada bapa dan ibunya yang meneroka kawasan itu sejak 60 tahun lalu.

“Hanya dua keluarga dalam rumah kami sekarang dapat rumah transit DBKL, dua lagi keluarga tak diberi pun hak. Sebab itu kami terus mendesak agar DBKL semak balik permohonan kami.

“Rumah transit pula kecil dengan satu bilik sahaja, macam mana satu keluarga besar nak duduk dalam rumah kecil ini? Keadaan sangat sesak.

“Kalau boleh kita nak lagi dua keluarga diberi hak rumah transit sebab anak pun ramai, mana muat duduk dalam satu rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Penduduk, Tamilselvi Veeradas ketika ditemubual semasa tinjauan mengenai rumah di Kampung Segambut Permai yang akan dirobohkan oleh DBKL selepas tamat tempoh mengosongkan rumah selama dua minggu di Kampung Segambut Permai, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 DISEMBER 2019.

Sementara itu, bagi Tamilselvi Veeradas meminta DBKL agar tidak menempatkan mereka di luar kawasan itu hingga menyukarkannya untuk mendapatkan rawatan dan hadir temu janji di hospital.

“Bagaimana saya nak naik rumah transit di tingkat 17 di Kerinchi sedangkan saya penghidap kencing manis dan kaki saya sudah dipotong?

“Kalau pindah ke kawasan lain sukar nak ke hospital kerana rekod perubatan saya di hospital sini,” katanya.

Magesperi Selvaraja
Penduduk, Magesperi Selvaraja ketika ditemubual semasa tinjauan mengenai rumah di Kampung Segambut Permai yang akan dirobohkan oleh DBKL selepas tamat tempoh mengosongkan rumah selama dua minggu di Kampung Segambut Permai, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 DISEMBER 2019.

Bagi Magesperi Selvaraja pula, dia dijanjikan penempatan semula selepas kediamannya di sini musnah dijilat api sejak empat tahun lalu.

“Sejak itu saya terpaksa pindah ke rumah mak mertua saya di sini. Bila DBKL buat bancian, rumah saya tak dikira dan nama saya tercicir daripada dapat rumah transit,” katanya.

Citra Palanippan
Penduduk, Citra Palanippan ketika ditemubual semasa tinjauan mengenai rumah di Kampung Segambut Permai yang akan dirobohkan oleh DBKL selepas tamat tempoh mengosongkan rumah selama dua minggu di Kampung Segambut Permai, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 DISEMBER 2019.

Menurut jirannya, Citra Palanippan, dia yang duduk bersama empat keluarga dalam sebuah rumah hanya diberikan dua unit rumah transit yang jauh dari penempatan sekarang iaitu di PPR Hang Tuah dan ini menyukarkan anak cucunya bersekolah.

“Anak-anak semua sekolah di sini, kita tak nak jauh-jauh, sudahlah kita duduk satu rumah, dua keluarga saja dapat rumah, lagi dua keluarga tidak dapat.

“Masa banci DBKL datang okay saja, lepas itu dia bagi dua rumah saja, satu rumah tu dia bagi satu bilik saja, lagi pun kita kerja dekat sini, anak-anak pun sekolah dekat sini, jangan bagi satu sini, satu sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette