Khashoggi
Jamal Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat pada 2 Oktober lalu dan tidak keluar dari premis berkenaan. foto BBC

ANKARA – Ankara akan meneruskan usaha mendedahkan pembunuhan wartawan warga Arab Saudi, Jamal Khashoggi, kata Pengarah Komunikasi Turki selepas mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman semalam.

“Mahkamah Arab Saudi mencapai keputusan yang meragukan pada hari ini selepas berbulan-bulan melakukan perbicaraan rahsia terhadap pembunuhan Jamal Khashoggi,” kata Fahrettin Altun dalam akaun Twitter.

Semalam mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas lima individu yang terlibat dalam pembunuhan Khashoggi dalam perbicaraan yang membabaitkan 11 orang.

Timbalan Pendakwa Raya Awam dan Jurucakap Arab Saudi, Shalaan al-Shalaan berkata, tiga orangĀ  dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 24 tahun kerana peranan masing-masing dalam jenayah tersebut dan melanggar undang-undang

Al-Shalaan berkata, mahkamah telah menggugurkan tuduhan ke atas tiga suspek dan mendapati mereka tidak bersalah, termasuk bekas Penasihat DiRaja, Saud al-Qahtani; bekas Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul, Mohammed al-OteibiĀ  dan bekas Timbalan Ketua Perisikan, Ahmed Assiri.

Altun yang membidas keputusan mahkamah itu berkata, ‘kekebalan diberi’ kepada pelaku yang ‘menghantar pasukan pembunuh ke Istanbul dengan menggunakan pesawat peribadi’, ‘menandatangani waran pembunuhan Khashoggi’, menghapuskan mayatnya dan menyembunyikan pembunuhan’ di bawah permaidani’.

“Untuk mendakwa bahawa sekumpulan operasi perisikan melakukan pembunuhan ini adalah memalukan perisikan dunia. Turki akan teruskan usahanya mendedahkan insiden ini,” kata beliau.

Khashoggi, wartawan akhbar The Washington Post dan penduduk Amerika Syarikat, dibunuh selepas memasuki Konsulat Arab Saudi di Intanbul pada 2 Oktober tahun lalu bagi mengambil dokumen untuk perkahwinan beliau. – Agensi