Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Khairul Azam Aziz bercakap pada sidang media mengenai tubuhnya skuad vigilante banteras warga asing di Pejabat Putra Perkasa, Kompleks Damai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menawarkan 1,000  sukarelawan kepada pihak Imigresen Malaysia dan polis untuk memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilapor tidak pulang dari negara ini.

Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, sukarelawan yang dipanggil ‘Skuad Sukarelawan Putra’ itu ditubuhkan susulan  kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Disember lalu apabila mahu memburu pelancong China dan India tinggal lebih masa.

“Isu berkaitan kebanjiran warga asing ini perkara yang boleh gugat kedaulatan negara.

“Pada 19 Disember hantar surat kepada ketua pengarah Imigresen dan ketua polis negara untuk beri cadangan tawar 1,000 sukarelawan memburu pelancong asing seperti yang diberitakan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Putra di sini hari ini.

Khairul Azam berkata, skuad sukarelawan itu juga menerima pendaftaran pelbagai kaum daripada latar belakang berbeza serta fahaman politik.

Beliau turut memahami tugas Imigresen dan Rela yang terlibat dalam operasi membanteras warga asing yang jumlahnya terlalu ramai dan disebabkan itu ia perlu dibantu.

“Mereka tak cukup tangan buat operasi membanteras pendatang asing. Kita faham kurang kakitangan, logistik dan sebagainya.

“Apalah salahnya jika sukarelawan Putra ini berkhidmat untuk negara. Tanpa perlu upah, gaji. Mereka berkhidmat sukarela cuma kita nak selaraskan dengan pihak keselamatan agar sukarelawan ini tidak dilihat sebagai kumpulan pengacau,” tambah beliau.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai perasaan takut kehilangan kuasa ekonomi dan hak tanah menyebabkan penduduk tempatan negara ini menyimpan perasaan benci atau xenophobia terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati), Khairul Azam berkata, skuad sukarelawan itu juga akan membantu memburu pendatang asing di Sabah dan Sarawak.

Ujarnya, di Sabah juga banyak PATI yang datang dari Filipina dan Suluk.

“Di Sabah mereka kata tak banyak pendatang dari India dan China. Kebimbangan itu memang berasas.

“Jadi memang ini juga antara tujuan kita, bukan fokus kepada pelancong China dan India sahaja akan kembangkan Pati dari negara lain termasuk di Sabah. Itu laluan kemasukan utama kemasukan Pati dalam negata kita.

“Akan ada mata-mata memerhati dam memberikan maklumat dan kita akan pastikan pihak berkuasa ambil tindakan effisien,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast