Jabatan Perkhidmatan Awam

KUALA LUMPUR – Kajian yang dijalankan ke atas Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) pada tahun 2019 mendapati kesemua 33 skim perkhidmatan sudah tidak lagi memenuhi kriteria ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan yang sukar dilakukan.

Ini kerana kerana bilangan calon yang memohon sesuatu jawatan melebihi jumlah keperluan semasa jawatan berkenaan.

Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakan, unjuran semasa tanggungan kewangan kerajaan bagi tahun 2018 ialah RM899.32 juta dan tanggungan ini akan terus meningkat kepada RM1.24 bilion pada tahun 2022.

Pemberian BIPK ini adalah berasaskan kepada peratusan gaji semasa yang diterima oleh pegawai (kecuali bagi yang
menerima kadar tetap RM750).

“Berdasarkan kepada asas pertimbangan di atas, pemberian BIPK sewajarnya dimansuhkan secara menyeluruh kepada kesemua penyandang dalam 33 skim perkhidmatan yang terlibat.

“Walau bagaimanapun, kerajaan memutuskan pembayaran BIPK masih dikekalkan kepada penerima sedia ada mengikut kadar sedia ada.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus menanggung kos pembayaran BIPK kepada penyandang sedia ada sehingga pegawai
meninggalkan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pelaksanaan pemansuhan ini hanya melibatkan pelantikan baharu sahaja yang dilantik mulai 1 Januari 2020.

Bagi pegawai yang berkhidmat secara kontrak, sekiranya tarikh tamat kontrak dan pelantikan semula melalui kontrak baharu pegawai adalah secara terus menerus dan tidak terputus tempoh perkhidmatannya.

Namun, tambahnya, kerajaan sentiasa akan menimbangkan permohonan serta membuat kajian semakan elaun keseluruhan perkhidmatan awam berdasarkan prinsip-prinsip tertentu.

Dalam melaksanakan kajian elaun, pertimbangan dan perhatian secara berhati-hati perlu diberikan kerana ianya memberi implikasi kewangan kerajaan.

Menurut JPA, walaupun BIPK telah dimansuhkan, elaun-elaun sedia ada yang diberi berasaskan kepada faktor risiko kerja, kesusahan, kepakaran dan kemahiran masih terus dinikmati oleh pegawai sedia ada dan pegawai lantikan baharu mengikut tugas yang dilaksanakan.

Sebagai contoh, Pegawai Perubatan Gred UD41 (Houseman) menikmati Elaun Waktu Bekerja Fleksi Bagi Pegawai
Perubatan Siswazah sebanyak RM600 sebulan mengambil kira kesukaran tugas dan tempoh bertugas yang panjang.

Selain itu, Elaun Tugas Atas Panggilan (On-Call) Bagi Pegawai Perubatan diberikan sekiranya pegawai menjalankan tugas atas panggilan di luar waktu pejabat manakala bagi pegawai yang diwartakan sebagai Pakar Perubatan dan Pergigian turut menerima Bayaran Insentif Pakar di antara RM1,600 hingga RM3,100 sebulan.

Tambahnya, selain Klasifikasi Perubatan dan Kesihatan, Skim Perkhidmatan Juruterbang/Pemeriksa Juruterbang turut diberikan Bayaran Insentif Juruterbang di antara RM4,500 hingga RM8,000 sebulan.

Jelas JPA, prinsip pemberian elaun yang ditetapkan sejak pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB) pada tahun 1992 dan diteruskan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah prinsip tidak sejagat, tidak kekal, tidak biasa dan kesaksamaan.

Prinsip tidak kekal menentukan bahawa elaun diberi secara sementara, boleh ditarik balik, diberhentikan bayarannya atau dimansuhkan sekiranya sesuatu elaun itu tidak lagi relevan atau tidak lagi menepati kriteria tertentu pemberian elaun tersebut.

Sehubungan itu, kesemua elaun dalam perkhidmatan awam adalah tidak bersifat kekal dan boleh ditarik balik termasuklah BIPK.

Katanya, pemberian elaun adalah berasaskan kriteria kos sara hidup, tanggungjawab tambahan, bayaran balik perbelanjaan, risiko kerja, kesusahan, kepakaran, kemahiran atau kompetensi tambahan, keanehan atau kejelikan tugas, kepentingan pengekalan sesuatu perkhidmatan dan galakan.

BIPK diperkenalkan bertujuan menarik dan menggalakkan penyertaan calon ke dalam skim-skim perkhidmatan tertentu yang mana pada ketika itu kerajaan menghadapi masalah kekurangan bekalan tenaga kerja dalam sektor tertentu.

Jelasnya, tahap kritikal sesuatu perkhidmatan itu akan berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa, ini bermakna bahawa sesuatu perkhidmatan kritikal itu boleh berubah menjadi kurang kritikal dan juga sebaliknya.

Dalam konteks ini, aspek kritikal bukan merujuk kepada tugas yang dilaksanakan dalam skim perkhidmatan tertentu.

Ujarnya, sebanyak 27 elaun telah dimansuhkan semasa pelaksanaan SSB dan 9 elaun melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 kerana tidak menepati prinsip dan kriteria pemberian.

“Dalam hal ini, urusan pemansuhan elaun bukanlah sesuatu perkara baharu dan kajian pengukuhan pemberian
elaun akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette