Saifullah Baiduri

KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyelar pertubuhan subversif Dong Zong yang membuat perakuan secara jelas sebagai Islamofobia berhubung pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Presidennya, Saifullah Baiduri menegaskan, pihaknya juga menolak alasan Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng yang menyatakan tindakan kerajaan memperkenalkan pembelajaran itu akan “mengislamkan” murid Cina.

“Pada kami, kenyataan ini sangat dangkal kerana Kementerian Pelajaran hanya memperuntukkan tiga muka surat yang mengandungi tiga baris perkataan sahaja.

“Tambahan pula, tulisan Jawi itu telah sinonim dengan masyarakat iaitu Bersekutu Bertambah Mutu, Bank Negara Malaysia dan Ringgit Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam satu forum anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (BGM) Khamis lalu, Chai Heng dilaporkan berkata, meskipun mengakui pengalaman belajar Jawi ketika di sekolah dahulu tidak pun menukar agamanya kepada Islam, tetapi wujud rasa takut di kalangan ahli kumpulan bahawa tindakan itu akan “mengislamkan” murid.

“Bukan takut kepada Jawi, itu tak betul. Tapi sebenarnya, takut diislamkan,” kata Chai Heng.

Menurut Saifullah, GAMIS melabelkan Dong Zong sebagai Islamofobia kerana alasan diberikan itu tidak tercapai oleh akal.

Beliau yakin jawapan itu hanya untuk menyelamatkan diri sahaja, malah lebih merisaukannya, adakah Dong Zong hanya Islamofobia atau telah menjadi pertubuhan anti-Islam?

“Sama ada Islamofobia atau anti-Islam, GAMIS mengecam sekeras-kerasnya persatuan Dong Zong kerana perkara ini tidak patut berlaku kepada mana-mana warganegara Malaysia.

“Ini kerana Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan agama rasmi bagi negara Malaysia adalah Islam. Sebagai warganegara di sebuah negara yang telah 62 tahun mencapai kegemilangan merdeka, sepatutnya perkara seperti ini tidak berbangkit. Sungguh, Dong Zong bagai kaduk naik ke junjung,” katanya.

Beliau berkata, GAMIS tetap dengan berpendirian agar pihak bertanggungjawab mengharamkan persatuan ultra kiasu itu dan mengenakan tindakan undang-undang yang tegas kepada individu terlibat di dalamnya.

GAMIS ujarnya, yakin dan percaya selagi mana persatuan rakus itu masih bertapak di Malaysia, mereka pasti akan terus mengganggu-gugat teras utama tanah air tercinta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast