KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjelaskan kulit muka depan buku Tulang-Tulang Berserakan adalah konsep baharu dalam usaha menarik pembaca dalam kalangan anak-anak muda.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, selama ini buku terbitan DBP selalu digambarkan sebagai tidak menarik dan pihaknya perlu melakukan transformasi dengan mencuba reka bentuk baharu.
Justeru jelas beliau, kulit muka depan Tulang-Tulang Berserakan karya Sasterawan Negara (SN), Usman Awang itu telah mendapat pujian ramai sejak berada di pasaran dua bulan lalu.
“Buku ini adalah edisi khas sempena Dekad Membaca Kebangsaan dengan DBP telah memilih buku-buku SN untuk diterbitkan pada harga istimewa iaitu RM10 senaskah.
“Tujuan penerbitan ini bagi menggalakkan masyarakat membaca di samping anak-anak muda lebih mengenali SN. Jadi kita mencuba konsep baharu yang jarang-jarang DBP buat.
“Kita ikut konsep anak muda dan meminta pereka bentuk buku ikut sudut pandangan golongan itu. Sebelum ini orang selalu gambarkan muka depan kulit buku DBP adalah teruk jadi sekarang DBP dalam transformasi dan banyak mencuba reka bentuk baharu namun ada had tertentu serta tidak boleh buat semua.
“Jadi untuk buku SN ini, kita dapat sudut pandangan dan kebanyakan orang memuji konsep kulit buku ini dan menyambut baik,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas luahan anak Usman, Haslina yang kecewa dan amat sedih apabila karya bapanya diterbitkan dengan paparan gambar orang lain.
Haslina berkata, paparan gambar di kulit muka depan Tulang-Tulang Berserakan menunjukkan DBP serta Kementerian Pendidikan tidak bertanggungjawab dan telah menganiaya karya seorang sasterawan negara.
Mengulas lanjut, Abang Sallehuddin mengakui ada pihak yang mempersoalkan kenapa tidak meletak gambar SN di kulit muka depan buku itu.
Jelas beliau, pihaknya tampil dengan kelainan untuk kulit muka depan konsep baharu kerana kebanyakan buku terbitan DBP sebelum ini turut tidak memapar wajah pengarang di depan.
Lagi pun katanya, gambar individu yang dipapar di kulit depan Tulang-Tulang Berserakan hanya gambar kecil reka bentuknya yang bukan untuk diberi fokus.
“Perlu jelas hak cipta dipegang oleh ITBM (Institut Terjemahan Buku Malaysia) dan kami telah berunding dengan mereka serta mendapat persetujuan
“Kita berbincang dengan pemegang hak cipta tetapi kita akan beri perhatian dan tidak mengabaikan pandangan waris atau sesiapa,” katanya.
Mengulas paparan individu di kulit muka depan Tulang-Tulang Berserakan didakwa seorang pegawai kepada Menteri Pendidikan, Dr Mazslee Malik, Abang Sallehuddin berkata, konsep gambar yang dipilih pereka bentuk telah difikirkan sesuai untuk satu kelainan baharu.
“Perlu diambil ingatan jika menggunakan nama seseorang dan tanpa kebenaran namun dalam konteks ini ia adalah ihsan dan tidak perlu dibayar.
“Kalau tengok gambar kecil itu sahaja dan tidak fokus gambar, tetapi kebetulan individu yang dipilih memberi izin dan tidak perlu bayar. Ia hanya sekadar gambar hiasan dan tiada maksud lain sama sekali,” katanya.
Abang Sallehuddin turut berjanji akan melakukan rombakan ke atas buku lain terbitan DBP kerana konsepnya tidak boleh kekal dan perlu mengikut kehendak masyarakat.
“Saya harap buku ini jangan disensasikan kerana niat DBP adalah baik untuk tarik anak muda kerana kulit muka depan buku ini agak lain.
“Saya harap orang ramai dapat beli dan baca Tulang-Tulang Berserakan kerana kandungannya cukup hebat,” katanya. – MalaysiaGazette