KUALA LUMPUR – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah melantik dua orang pegawai perlawanan dari Malaysia untuk bertugas sepanjang pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020.

Kejohanan itu akan berlangsung di tiga buah bandar di Thailand iaitu Bangkok, Songkhla dan Buriram dari 8 hingga 26 Januari depan.

Justeru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju menghantar Pengadil FIFA, Amirul Izwan Mohd Yaacob dan Penolong Pengadil FIFA, Mohd Yusri Muhamad bagi tugasan berkenaan.

“Amirul dan Yusri akan berlepas ke Bangkok pada Khamis ini bagi memulakan tugas dan persediaan menjelang sepak mula kejohanan dengan aksi pembukaan Kumpulan A dijadual pada 8 Januari 2020 iaitu Iraq bertemu Australia dan tuan rumah, Thailand menentang Bahrain.

“FAM berharap kedua-dua mereka ini dapat menjalankan tugas masing-masing dengan sebaik mungkin bagi memastikan para pegawai perlawanan dari Malaysia terus mendapat tempat dan kepercayaan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” kata Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast