KUALA LUMPUR : Bayangkan bangun dari tidur setiap pagi dengan merasa badan dan tulang lenguh dan sakit kerana telah bermalam sekali lagi di kaki lima atau di bangku yang sejuk di pinggir padang awam atau di tepi jalan. Selepas itu terus merasa lapar dan mula mencari tempat yang boleh mensaji sarapan percuma.
Begitulah sebahagian rutin harian bagi ratusan atau mungkin ribuan rakyat Malaysia yang berhadapan dengan keadaan ketidaktentuan tempat tidur dan makanan sepanjang hari dalam hidup mereka.
Merekalah yang disebut sebagai golongan gelandangan. Ke mana mereka harus pergi? Mereka boleh merayau-rayau di lorong mencari sisa-sisa makanan namun mereka boleh seluk kocek atau ragut duit orang lain, kemudian dibelasah dan dicampakkan ke dalam jel.
Adakah itu yang kita mahu? Sementara itu, terdapat juga kanak-kanak gelandangan yang mengikut ibu-bapa mereka berkeliaran di merata-rata tempat, termasuk di ceruk-ceruk gelap, tanpa menghirau soal persekolahan dan masa depan mereka.
Mengambil kawasan Chow Kit di Kuala Lumpur sebagai contoh, di sekeliling kanak-kanak ini, di antara lain, ialah gedung-gedung dan bazar membeli-belah, kedai-kedai makan, pasar basah, hotel-hotel murah, pusat-pusat rekreasi untuk dewasa serta sarang pelacuran dan dadah.
Budak-budak ini tiada padang permainan seperti yang terdapat di kebanyakan taman-taman perumahan.
Tiada juga tempat-tempat penjagaan kanak-kanak, di mana budak yang masih bayi atau di peringkat pra-sekolah diberi penjagaan yang baik ketika ibubapa mereka pergi mencari nafkah.
Sering kedengaran suara-suara kelaparan, tangisan sedih dan sakit dan tengking-menengking kerana kesempitan wang dan tiada makanan harian.
Dengan persekitaran sedemikian saban hari sejak lecil, tidak mustahil kanak-kanak di Chow Kit dan tempat-tempat lain yang senasib dengannya – membesar dengan perwatakan agresif, berani mati, dan tiada hormat kepada undang-undang dan tiada wawasan bagi masa depan. Hendak ada wawasan macama mana kalau membesar di tepi jalanan.
Jangan fikir dengan pertumbuhan dan pembangunan pesat di sekitar negara, lebih-lebih lagi di ibu kota dan beberapa pusat pertumbuhan di Lembah Klang, tiada insan yang hidup menderita dan merana dalam kemiskinan.
Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, begitulah hidup seharian di beberapa tempat di kota, seperti di Chow Kit dan juga sekitar kompleks Kota Raya dan Cahaya Suria di Jalan Tun Perak.
Apapun, di sinilah kediaman mereka, di sinilah tempat mereka hidup dan mati, di sinilah syurga dan neraka duniawi mereka.