APA yang difahamkan, tahun 2020 negeri Johor bakal menjadi tuan rumah bagi kejohanan Sukan Malaysia ke-20 (Sukma
XX). Dalam masa yang sama juga negeri Johor turut dipilih menganjurkan sebagai Tahun Melawat Johor 2020.

Malangnya, sehingga ke hari ini rakyat hanya dihidangkan berita tentang kerancakan persiapan Sukma XX sahaja. Ia seakan-akan menggambarkan bahawa pada tahun 2020 hanya mempunyai satu sahaja program besar sahaja. Apa khabar agaknya dengan ‘Visit Johor 2020’? 

Esok kita sudah pun melangkah masuk ke tahun 2020, saya begitu yakin masih ramai lagi dalam kalangan rakyat Johor sendiri yang tidak tahu mengenai ‘Visit Johor 2020’ ini.

Mungkin juga dalam kalangan mereka sehingga ke hari ini masih tidak pernah lihat langsung logo ‘Visit Johor 2020’. Perkara ini tidak hairan jika berlaku kerana sudah terang lagi bersuluh di sekitar negeri Johor ini tiada langsung iklan untuk mempromosi ‘Visit Johor 2020’ secara besar-besaran.

Jika tidak percaya, buatlah bancian secara rawak terhadap rakyat di negeri ini, pasti ramai masih tidak tahu dan maklum tentang perkara ini. Jika rakyat negeri sendiri tidak tahu, apatah lagi rakyat di negeri lain pastinya langsung tidak tahu.

Secara logiknya, Exco Pelancongan Johor, Liow Cai
Tung gagal melaksanakan dan menjalankan tugasnya sebagai Exco Pelancongan. Sepatutnya sebagai Exco Pelancongan, beliau lebih agresif dalam mempromosikan tempat-tempat menarik dan kebudayaan yang ada di Johor ini.

Difahamkan juga, pelancaran ‘Visit Johor 2020’ telahpun dilancarkan pada bulan Ogos 2019 yang lalu. Jadi tiada alasan untuk Exco Pelancongan tidak menjalankan tugasnya bagi mempromosikan ‘Visit Johor 2020’ secara besar-besaran. Ini tidak, hanya diam membisu tanpa tindakan sewajarnya.

Malah ada khabar angin yang bertiup mengatakan Liow melarikan diri dan mengelak ketika wartawan ingin bertanya tentang soalan yang berkaitan dengan ‘Visit Johor 2020’. Perkara ini menambahkan lagi andaian bahawa Exco Pelancongan ini memang tidak bersungguh-sungguh untuk mempromosikan ‘Visit Johor 2020’, sekali gus menunjukkan dirinya tidak serius menjalankan tugas sebagai Exco Pelancongan.

Kali terakhir negeri Johor dipilih sebagai Tahun Melawat Johor sekitar 17 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2003. Dalam masa 17 tahun ini, negeri Johor benar-benar berubah ke arah yang lebih baik dan semakin maju dalam pelbagai sektor khususnya sektor pelancongan. Jadi amatlah rugi jika kerajaan negeri tidak mengambil peluang ini untuk mempromosikan negeri ini kepada orang luar.

Kerajaan negeri perlu bijak mengambil kesempatan terhadap acara ini bagi membantu merancakkan lagi sektor pelancongan yang ada di negeri ini, terutama membantu pemain sektor pelancongan negeri ini supaya Johor terus maju dan lebih
berkembang dari semasa ke semasa.

Oleh: Dhia Hani, Persatuan Pemikir Muda Johor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast