Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz Malay Peninsular Malays Indians Orang Asli Chinese MRL Malay Reserve Land
Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

SETIAP bahasa mempunyai lisan bagi pertuturan dan juga tulisan. Begitu juga dengan bahasa Melayu. Bagi tujuan rencana ini saya menumpukan kepada tulisan Melayu, iaitu tulisan Jawi.

Dari segi sejarah, tulisan bagi bahasa Melayu telah melalui beberapa fasa perubahan. Terdahulu terdapat beberapa tulisan Melayu, iaitu Rencong, Kawi, Pallava dan Jawi. Rencong, Kawi dan Pallava telah pupus dan tidak lagi dikenali oleh generasi Malaysia. Tulisan Jawi juga kini sudah terpinggir setelah bahasa Melayu ditulis menggunakan tulisan Rumi.

Saya tidak berniat mengulas panjang tentang sejarah tulisan jawi ini kerana tujuan saya menulis rencana ini adalah untuk mengetengahkan soal perundangan. Walaupun begitu, tidak boleh tidak, saya ingin menegaskan bahawa tulisan Jawi adalah warisan negara kerana ia telah menyumbang kepada peradaban di Alam Melayu. Bahkan, tulisan jawi telah terbukti menjadi tulisan perhubungan rasmi dan bukan rasmi di Alam  Melayu. Pelbagai bukti sejarah boleh dihuraikan. Sejarah juga membuktikan bahawa tulisan Jawi dipelajari oleh orang asing bagi membolehkan mereka berhubungan dan memahami sifat, sikap serta kebudayaan orang Melayu.

Tidak syak lagi pendekatan ini telah mewujudkan tautan persefahaman antara pegawai-pegawai Inggeris dan raja-raja Melayu secara khusus. Bahkan pengisytiharan kemerdekaan juga ditulis menggunakan tulisan Jawi. Ini menunjukkan kedudukan dan kepentingan tulisan Jawi pada  ketika kita mencapai kemerdekaan.

Dokumen berkaitan proses kemerdekaan dan gubalan Perlembagaan Persekutuan memperincikan hal berkaitan bahasa Melayu dan mencadangkan supaya hanya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan. Walaupun begitu, belum ditemui dokumen sejarah perundangan negara yang memperjelaskan atau memperincikan perkara berkenaan tulisan bagi bahasa Melayu. Sebagai contoh, Laporan Suruhanjaya Reid dan Constitutional Proposal oleh Jawatankuasa Kerja yang menilai dan mencadangkan perubahan kepada draf Perlembagaan juga tidak membicarakan hal berkaitan tulisan bagi Bahasa kebangsaan.

Melalui bacaan literatur, saya dapati beberapa penulisan menyatakan bahawa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua, yang berlangsung di Seremban pada 1 dan 2 Januari 1954 telah membuat rumusan supaya tulisan Rumi diwartakan sebagai tulisan bagi Bahasa Kebangsaan. Keputusan ini diambil apabila meneliti suatu penyata yang buat oleh jawatankuasa yang meneliti tulisan Rumi – Jawi. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ini,  walau bagaimana pun tidak mencadangkan supaya tulisan Jawi dihapuskan.

Apabila peruntukan Perlembagaan dimuktamadkan, ia adalah seperti yang kita ada sekarang dalam Perkara 152 Perlembagaan. Perkara 152(1) menyatakan seperti berikut:

The national language shall be the Malay language and shall be in such script as parliament may by law provide:…)(Terjemahan: Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:…)

Hanya peruntukan ini yang didapati menyebut tentang tulisan bagi Bahasa Kebangsaan. Tiada peruntukan lain lagi berkaitannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah, tidak juga dinyatakan dalam dokumen sejarah tentang tujuan atau sebab kenapa Fasal 152(1) distrukturkan sedemikian.

Jelas dari peruntukan 152(1) ini bahawa Perlembagaan menyerahkan tanggungjawab kepada Parlimen untuk menentukan bentuk tulisan bagi bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, Parlimen, melalui Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 mengiktiraf tulisan Rumi sebagai tulisan Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu dengan syarat, tidak menghalang penggunaan tulisan Jawi. Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan diberikan tajuk “Tulisan bagi bahasa kebangsaan” dan menyatakan seperti berikut:

Tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi Bahasa Kebangsaan

Jika diteliti Seksyen 9 ini, tulisan Rumi adalah disahkan sebagai tulisan bagi Bahasa Kebangsaan, tetapi pada masa sama Seksyen 9 meletakkan syarat bahawa penggunaan tulisan Rumi tidak melarang penggunaan tulisan Jawi sebagai tulisan Bahasa Kebangsaan.

Jika diperhatikan peruntukan Seksyen 9 ini dengan lebih mendalam, adalah nyata bahawa tulisan Jawi adalah sebenar-benarnya tulisan bagi Bahasa Kebangsaan. Ini kerana Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan tulisan bagi bahasa Melayu ialah tulisan Melayu, yang dikenali sebagai tulisan Jawi. Frasa dalam Seksyen 9 yang menyatakan “…penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi” boleh dibaca dengan memberi faham bahawa tulisan Melayu ialah tulisan jawi dan oleh kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, maka tulisannya adalah juga tulisan Melayu, iaitu tulisan Jawi.

Sebelum seksyen  9 ini diwujudkan, tulisan Rumi tidak dinamakan sebagai tulisan bagi bahasa Melayu. Tulisan Rumi hanya menjadi tulisan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan setelah Seksyen 9 ini diwujudkan. Jelas sekali, penerimaan tulisan Rumi sebagai tulisan bagi Bahasa Kebangsaan adalah satu kompromi yang mahu mengimbangi kedudukan kedua-dua tulisan tersebut dengan mengambil kira kepentingan Melayu dan warga negara yang lain.

Sebagai huraian lanjut, berdasarkan Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, Bahasa Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, mempunyai dua bentuk tulisan; tulisan Rumi dan tulisan Melayu, iaitu tulisan Jawi. Oleh yang demikian, apabila Perkara 152 Perlembagaan menyebut bahasa Melayu, maka secara langsung ia merangkum tulisan bagi bahasa tersebut.

Sekiranya hanya tulisan Rumi yang diiktiraf, maka ia telah meminggirkan satu lagi komponen tulisan bagi bahasa Melayu, iaitu tulisan Jawi. Keadaan ini mencacatkan bahasa Melayu. Apabila disebut Bahasa Melayu, walau di mana jua, termasuk yang disebut dalam Perkara 152, maka ia sekali gus merangkum dua bentuk tulisan ini, iaitu tulisan Rumi dan tulisan Jawi. Justeru, adalah ditegaskan di sini bahawa tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Melayu.

Setelah Perlembagaan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan maka adalah menjadi tanggungjawab seluruh warga negara Malaysia, bahkan penduduk Malaysia secara umumnya, menerima dan menghormati tulisan Melayu ini. Pengabaian ini telah sekian lama berlaku sehingga warga negara Malaysia sendiri semakin melupainya. Keadaan ini hendaklah dipulihkan.

Memperkenalkan tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di semua sekolah adalah tindakan tepat pada masanya. Ia memperkenalkan bahasa Melayu secara sepenuhnya sebagai Bahasa Kebangsaan, bukan sekadar lisannya, tetapi juga tulisannya. Sikap memandang serong atau menentang polisi ini perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan semangat undang-undang dan Perlembagaan.

Adakah warganegara selain Melayu perlu mengenali tulisan jawi? Saya menjawab positif bagi soalan ini. Semua warga negara Malaysia perlu mengenali tulisan Jawi dan ini boleh dilakukan di sekolah dan boleh dimasukkan dalam mata pelajaran bahasa Melayu kerana ia adalah sebahagian daripada komponen tulisan bahasa Melayu yang diterima sebagai bahasa kebangsaan.

Hujah saya ialah, setiap warga negara bertanggungjawab mentaati Perlembagaan dan undang-undang negara. Sesungguhnya Perlembagaan Persekutuan telah mengambil kira kepentingan semua pihak, tidak mengira agama dan bangsa dalam membentuk bangsa bagi negara ini. Jika dibandingkan dengan negara jiran yang mengamalkan dasar asimilasi, warganegara Malaysia adalah amat bernasib baik kerana Perlembagaan tidak menafikan hak mereka dalam soal kepentingan komuniti masing-masing. Dalam hal tulisan bahasa Melayu ini, tulisan Rumi telah diterima untuk kepentingan masyarakat Malaysia.

Dalam isu Bahasa Kebangsaan ini juga, ia bukan paksaan ke atas warga negara untuk menerima identiti Melayu dalam bentuk asimilasi, tetapi tulisan Jawi adalah komponen tulisan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan ia adalah penting untuk mencapai hasrat integrasi antara etnik dan komuniti Malaysia.

Buktinya dapat dilihat ialah amalan yang telah dilakukan oleh pegawai-pegawai British.  Secara positifnya, jika ikhlas niat mengukuhkan perpaduan, maka pembelajaran tulisan Jawi adalah antara mekanisme berkesan bagi tujuan kesefahaman dan integrasi dalam kalangan warganegara berbeza identiti dan komuniti.

— Penulis adalah Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast