Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) melancarkan Unit Sukarelawan Bencana peringkat negeri sebagai langkah kesiapsiagaan untuk membantu mangsa bencana.

Pengerusi Jawatankuasanya, Datuk Kapten (K) Zuhairi Ab. Kadir berkata, penubuhan unit itu untuk menarik penyertaan badan sukarelawan serta orang ramai menyertai misi bantuan sebagai tanggungjawab bersama.

Katanya, langkah itu penting bagi menggalakkan lebih ramai sukarelawan baharu menganggotai MSBN dan menyemai kerjasama bersepadu melibatkan agensi kerajaan sama ada di peringkat pusat, negeri mahupun daerah.

Beliau berkata, MSBN juga turut menganjurkan latihan intensif bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada sukarelawan supaya dapat berperanan dengan baik serta lancar.

Zuhairi Ab. Kadir

“Kesiapsiagaan ini perlu diterapkan dalam diri mereka supaya kelak mereka berpengetahuan dan berpengalaman dalam memberikan bantuan serta perlindungan kepada mangsa.

“Bencana alam bukan hanya dalam ruang lingkup banjir sahaja, ia luas termasuk mencari dan menyelamat orang hilang, kebakaran hutan, kemalangan, pesawat terhempas, bangunan runtuh, tanah runtuh dan tsunami.

“Selain berkhidmat kepada masyarakat, kita turut menekankan peranan penting unit ini dalam memberi sumbangan seperti makanan, pakaian, kewangan dan perubatan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Zuhairi, bantuan perlu sampai ke tempat bencana pada kadar segera bagi meringankan beban mangsa sebelum sampai bantuan berkala dari kerajaan. – MalaysiaGazette