KLUANG – “Seorang daripada lelaki yang datang ke rumah bertanya, siapa pemilik rumah dan kereta. Namun sebelum sempat saya jawab, seorang suspek mengacukan pistol dan lepaskan empat das tembakan.
“Tembakan nyaris terkena pinggang saya, tetapi tersasar terkena bingkai pintu dan dinding rumah, dua lagi das tembakan tembus di meja makan di depan rumah.
“Saya sempat mengambil penyapu manakala suami ambil parang di dapur untuk pertahankan diri. Saya juga jerit minta tolong daripada jiran,” ujar suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Dian, 36.
Dalam kejadian tersebut, Dian dan suaminya didatangi tiga lelaki depan rumahnya di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam di sini pada pukul 12.17 tengah hari semalam dan melepaskan empat das tembakan sebelum melarikan diri.
Tiga suspek itu tiba dengan menaiki kereta Perodua Bezza warna maroon melepaskan tembakan ke bawah.
Namun, tiada yang cedera dalam kejadian tersebut.
Menceritakan detik-detik cemas itu, Dian menambah, selepas mendengar jeritannya dan bunyi tembakan, jiran-jiran datang membantu mendorog semua suspek lari ke arah kereta sambil melepaskan dua das lagi tembakan.
Tanpa berlengah, dia dan suami menaiki kereta dan mengejar kereta suspek sejauh dua kilometer dan berjaya mendapat nombor kenderaan suspek sebelum memberikannya kepada pihak polis.
Dian yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, semasa kejadian dia dan suami baru pulang dari sekolah agama selepas membayar yuran sekolah anak lelaki tunggal mereka berusia 10 tahun.
“Saya, suami, ibu berusia 60 tahun, anak asuhan berusia tiga tahun dan anak lelaki kami berehat di rumah pada sebelah tengah hari,” katanya.
Dian menambah, pada awalnya dia tertanya-tanya selepas sebuah kereta tidak dikenali memasuki halaman rumahnya.
Jelasnya, tiga lelaki tersebut mendekati rumah dan berdiri di tepi tembok dalam anggaran jarak kurang 10 meter dan melepaskan empat das tembakan.
“Sehingga kini kami sekeluarga masih dalam keadaan ketakutan kerana terdapat beberapa suspek masih diburu polis. Setakat ini diberitahu seorang sahaja sudah ditahan di Simpang Renggam.
“Saya amat risau keselamatan keluarga terutama ibu dana anak saya. Sampaikan ada orang datang beri salam, saya terus capai apa sahaja barang untuk pertahankan diri kerana takut saki baki geng mereka datang rumah.
“Namun, pihak polis turut memantau kawasan rumah saya selain orang kampung turut membantu,” katanya.
Ketika ditanya, mengenai motif kejadian, Dian enggan mengulas lanjut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.
Dian dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu peribadi di Johor Bahru, yakin pihak polis akan menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.
“Kesan tembakan masih dapat dilihat dan kami harap kesemua suspek dapat ditangkap segera,” katanya.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu diterima daripada Dian.
Menurut beliau, seorang suspek dikenali sebagai Man Tiger berjaya ditahan di Pusat Perdagangan Simpang Renggam pukul 7 malam tadi dan mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Batu Pahat petang tadi.
Sementara tujuh lagi suspek kata Bahrin, masih giat diburu polis.- MalaysiaGazette
















