KUALA LUMPUR – Bukan sahaja memiliki paras rupa yang cantik selain bakat sebagai usahawan muda, sebaliknya nilai kemanusian dalam diri ratu cantik, Priyaa Simmi Saineethian sememangnya harus dipuji.

Malah gadis cilik dengan gelaran Mrs Malaysia World ini telah membuat kejutan dengan memberikan hadiah istimewa Krismas serta Tahun Baharu 2020 kepada anak-anak kurang bernasib baik dari rumah kebajikan, Lighthouse Welfare Home Association.

Kanak-kanak itu dibawa bercuti dan bersuka ria dan sambil diberi tunjuk ajar cara-cara menjaga kecantikan diri dalam suasana cukup menghiburkan.

Priyaa yang juga pemilik Akademi PriyaSimmi juga aktif menganjurkan pelbagai program untuk kanak-kanak seperti renang, kursus kecantikan, penjagaan diri dan banyak lagi.

Menurut Priyaa beliau berpegang kepada kata-kata serta prinsip yang menjadi amalan mentornya,Pengarah Nasional Mrs Malaysia World, Datin Harveen Kaur yang juga juara Mrs Malaysia World 2017, iaitu amalan kebajikan sepatutnya sebati dengan jiwa seseorang.

Walaupun tidak terdaya untuk membantu semua pada satu masa, sekurang-kurangnya apa yang termampu itu sudah cukup untuk memberi kepuasan dalam kehidupan ini.

Itu luahan Priyaa kepada MalaysiaGazette tentang keterujaan melakukan kempen-kempen kemanusian serta kebajikan selama ini.

Kata Priyaa, beliau yang aktif dalam kerja kebajikan bertindak melakukan promosi bagi membantu rumah kebajikan Lighthouse yang beroperasi di Bangsar oleh pasangan Steven.

“Rumah kebajikan ini sebenarnya mempunyai 72 orang kanak-kanak tidak bernasib baik termasuklah 36 daripadanya adalah anak-anak dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Rata-rata kanak-kanak ini datangnya dari latar belakang yang cukup meruntun jiwa termasuklah penderaan, kemiskinan serta pelbagai permasalahan domestik yang lain.

“Kesemua kanak-kanak ini pula terpaksa ditempatkan di empat buah rumah bagi mematuhi syarat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Kesemua ini memerlukan kos tinggi sehingga mencecah RM70,00 sebulan.

“Tujuan kita mengadakan program ini pula memberikan sedikit sebanyak kegembiraan kepada kanak-kanak ini selain memberikan publisiti tentang rumah Lighthouse yang sememangnya memerlukan perhatian daripada masyarakat umum untuk tampil membantu bagi mengurangkan bebanan.

“Bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi nahu yang memikulnya. Malah dengan memberikan tempat perlindungan kepada golongan tidak bernasib baik ini sebenarnya adalah sesuatu yang mulia,” katanya.

Program amal untuk kanak-kanak di Port Dickson dibiayai Priyaa dan difahamkan Yayasan Kesejahteraan Sai adalah milik beliau.

Hasrat Priyaa adalah lebih ramai tampil membantu rumah kebajikan Lighthouse pada masa hadapan kerana golongan ini sangat memerlukan apatah lagi dengan keadaan ekonomi begitu mencabar ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast