PELETAKAN jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan bukan saja membuka laluan untuk rombakan Kabinet tetapi lebih penting ianya mencetuskan seribu satu persoalan dalam kalangan anggota masyarakat tentang hala tuju dan masa depan sistem pendidikan negara. Hal ini begitu signifikan kerana portfolio tersebut adalah antara jawatan kanan yang cukup mustahak dan membabitkan masa depan golongan belia dan juga negara secara keseluruhannya.
Oleh yang demikian, rata-rata semua pihak bercakap tentang spekulasi pengisian jawatan ini. Kekosongan jawatan ini telah membuka ruang perbincangan dan perdebatan yang hangat tentang dua isu utama iaitu, siapa calon yang bersesuaian
mengisi kerusi panas ini dan apakah kementerian ini wajar terus kekal seperti sekarang atau kembali dipisahkan menjadi Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi seperti suatu ketika dahulu.
Sejak kerusi ini kosong sudah kedengaran beberapa nama besar yang disebut-sebut sebagai calon terbaik. Ianya membabitkan gabungan ahli politik yang senior, berpengalaman luas dan ada yang pernah menduduki kerusi panas tersebut sebelum
ini. Malah beberapa nama tokoh pendidikan dan bukan ahli politik juga dicadangkan sebagai calon yang wajar dipertimbangkan.
Ironinya bagi penulis setiap calon yang disebut-sebut itu ada peluang yang sama rata dan secara kasarnya mungkin kelihatan sesuai untuk mengetuai kementerian ini berdasarkan latar belakang dan pengalaman masing-masing. Namun kita harus ingat pada ketika ini terlalu banyak isu pendidikan sedang diperdebatkan secara meluas.
Antaranya isu tulisan Jawi, sekolah vernakular, sekolah satu aliran dan sekolah wawasan, kawalan terhadap sekolah persendirian, isu Dong Zong dan juga UEC. Secara peribadi saya berpandangan negara kita sebenarnya memerlukan seorang pejuang pendidikan kebangsaan sebagai menteri sama ada orang politik mahupun bukan politik. Pejuang ini antara lain perlu berani bercakap tidak kepada tuntutan dan desakan yang tidak wajar, sanggup mengambil risiko membuat keputusan tidak popular, tegas memperkukuhkan sekolah kebangsaan sebagai wadah perpaduan, dan berani membuat perubahan terhadap dasar yang lapuk dan menghalang pembentukan identiti bangsa Malaysia.
Jujurnya untuk jawatan ini kita tidak memerlukan seorang ahli politik yang suka play safe serta menjadi boneka dan pak
turut kelompok tertentu sehingga cuba memuaskan hati semua orang dengan menjadi hero yang akhirnya akan menggadaikan masa depan anak bangsa. Justeru besarlah harapan kita agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menggunakan kuasa yang ada untuk melantik seorang calon yang memenuhi kriteria tersebut. Pemilihan calon yang tepat akan mencorak naratif baharu dalam sistem pendidikan yang kita idam-idamkan.
Tatkala kita fokus kepada calon yang sesuai jangan juga dilupakan ianya juga perlu selari dengan perancangan apakah sama ada kekal sebagai satu kementerian atau dipisahkan di mana masing-masing ada pro dan kontranya. Antara kelebihan gabungan atau kekal sebagai satu kementerian ialah, menjamin kesinambungan dasar dan program dalam sistem pendidikan negara yang lebih berkualiti dan dinamik di samping memudahkan urusan pentadbiran.
Malah ia juga dilihat sebagai pendekatan strategik di mana perencanaan dan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dapat terus diperkukuhkan. Tambahan pula, murid sekolah dapat dibentuk melalui satu acuan yang sama di bawah kementerian yang sama sehingga boleh menjejak kaki ke menara gading melalui dasar dan pelan pembangunan yang menyeluruh dari peringkat sekolah hingga ke universiti.
Pada masa yang sama kita juga perlu menilai saiz dan komposisi kementerian ini. Bilangan sekolah yang banyak, bilangan guru dan murid yang ramai, di tambah pula dengan bilangan universiti, para akademia dan mahasiswa yang kesemuanya menjadikan ianya sebuah kementerian yang cukup besar dan kompleks untuk
diuruskan di bawah satu kementerian atau seorang Menteri. Situasi ini sering kali menimbulkan kerisauan dalam kalangan anggota masyarakat di mana dikhuatiri sebuah kementerian tidak dapat memberi perhatian dam fokus secara lebih spesifik
kepada keperluan kedua-dua sektor yang terlibat. Misalnya kita khuatir sebuah kementerian tidak mampu menguruskan beban yang cukup besar dari kedua-dua sektor tersebut terutamanya dari segi pengurusan, pentadbiran serta dasar dan hala tuju yang lebih spesifik dan berorientasikan keperluan masing-masing.
Sudah semestinya keperluan sekolah, guru dan murid akan berbeza dengan keperluan universiti, pensyarah dan mahasiswa. Malah peruntukan bajet di bawah satu kementerian juga boleh jadi tidak mencukupi untuk menampung keperluan kedua-
dua sektor berbanding peruntukan bajet secara berasingan untuk dua kementerian.
Jadi isu kekal sebagai satu kementerian atau dipisahkan seperti dulu memerlukan penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya dan perkara ini perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum ditentukan calon yang akan dilantik nanti. Apa pun dalam konteks ini penulis percaya dan sangat yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kebijaksanaan yang dimilik oleh Dr Mahathir Mohamad dalam merungkai isu ini sebaik mungkin. Untuk itu kita perlu memberi ruang secukupnya kepada Dr Mahathir bagi menimbang dan membuat keputusan yang terbaik demi memantapkan masa depan dan hala tuju sistem pendidikan negara. Tuntasnya, semua pihak termasuk parti komponen wajar menghormati hak prerogatif Perdana Menteri dan kuasa
melantik Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette
Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM