Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International berkaitan dana bernilai RM42 juta membabitkan Datuk Seri Najib Razak menjadi ‘ribut’ seketika apabila tertuduh dan peguam pendakwa bertikam lidah hari ini.

Najib serta Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram bukan sahaja berbalas kata dan meninggikan suara masing-masing kira-kura 10 minit.

Malah Najib yang juga bekas perdana menteri dalam nada tegas ‘mengajar’ Sithambaram supaya bertanya soalan dengan betul atau technically right.

Sithambaram: Saya akan tanya soalan yang mudah sahaja Datuk Seri.

Najib: Anda bukan sahaja perlu bertanya soalan mudah tetapi sepatutnya soalan yang diajukan itu technically right. Bukan sekadar soalan mudah sahaja.

Sithambaram: Baik baik. Saya faham.

Najib dalam perbicaraan yang sama juga tidak berapa senang dengan penggunaan perkataan seperti ‘kononnya’ oleh Sithabaram dalam dakwaan tandatangan beberapa dokumen penting berkait SRC International.

Sithambaram berterusan ‘mengasak’ Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dengan soalan sama ada benar beliau membuat pengakuan ketika siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa dirinya menandatangani beberapa dokumen sebelum ini.

Najib dalam keadaan tegang itu masih memberikan jawapan konsisten dengan mengatakan dirinya hanya ditunjukkan dokumen berkaitan untuk tempoh singkat dan hanya memberi jawapan berdasarkan tandatangan yang nampak seperti tandatangannya.

Bagaimanapun beliau kemudian memberitahu dirinya berasa ragu-ragu dengan ketulenan tandatangan tersebut dan telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pakar tulisan untuk menganalisanya.

Namun Sithambaram tetap berdegil untuk Najib mengaku apakah beliau telah membuat pengakuan seumpama itu kepada SPRM sebelum itu.

Sithambaram: Saya ingin tanya sekali lagi, saya cadangan anda mempunyai masa sebenarnya untuk membaca semua dokumen yang telah ditunjukan oleh SPRM sebelum ini. Masa itu bukan singkat.

Najib: Tidak bersetuju. Saya tidak boleh ingat semuanya. Sebagai perdana menteri, saya menandatangani berpuluh-puluh dokumen saban hari. Mungkin ada perkara yang saya tidak boleh ingat.

Adakah anda tahu apa yang berlaku sembilan tahun lepas? Saya mentadbir sebuah negara, banyak perkara yang berlaku tiap hari, tentulah ada yang tidak boleh diingat.

Saya sudah katakan berkali-kali, tandatangan itu nampak seperti kepunyaan saya tetapi saya ragu-ragu. Kerana itu mahu pakar menganalisanya kembali. Saya tidak pasti tentang hal ini sehinggalah perbicaraan.

Sithambaram: Anda sedang ulang seperti pita perakam. Saya cadangkan kamu cuba mengelirukan mahkamah dengan jawapan-jawapan kamu ini.

Najib: Tidak betul.

Prosiding itu bersambung petang tadi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terdahulu, Mohd Nazlan bertindak memutuskan unntuk menolak permohonan pendakwaan untuk membicarakan (impeachment) terhadap Najib yang dikatakan memberi keterangan bercanggah berhubung tandatangannya pada dokumen SRC dalam mahkamah dan dengan SPRM.

Kata Mohd Nazlan, setelah diteliti dokumen oleh pasukan pendakwaan, percanggahan yang dikatakan itu sebenarnya boleh dimaafkan kerana itu hanya satu kesilapan kecil.

“Percanggahan itu bukanlah satu kenyataan yang begitu ketara dan begitu serius. Saya minta pasukan sambung sahaja perbicaraan dan mahkamah tolak permohonan impeachment,” ujar beliau. – MalaysiaGazette