KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia mengecam sebarang bentuk tindakan pihak tertentu memberi imej pilih kasih berhubung perkara berkaitan warisan bangsa Melayu.
Tegas anggota Exconya, Haziq Aizuddin Subhi, ketika tulisan Jawi dibantah hebat oleh Dong Jiao Zong kerana dikatakan menjadi asas kepada Islamisasi, tiba-tiba ada pemimpin Pakatan Harapan (PH) ‘mengagungkan’ kaligrafi Cina.
Alasan kononnya ia dapat memupuk perpaduan.
“Susah untuk difikirkan secara rasional pendirian kerajaan PH ini. Di mana asas dan konsep hormat menghormati yang wujud di negara ini ketika warisan Melayu ditentang dan dikecam hebat tetapi warisan kaum minoriti disuruh hormat dan dijadikan kayu ukur asas perpaduan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Haziq Aizuddin menegaskan, pergerakan itu mengingatkan semua warisan adalah sesuatu yang berharga dan pastinya warisan bangsa Melayu paling istimewa kerana ia merupakan negara Malaysia dan lahir di tanah tumpah darah rakyatnya.
Kata Haziq Aizuddin, kerajaan PH perlu lebih prihatin berhubung perkara sensitif sebegini dan tidak leka dengan penukaran kenderaan rasmi serta memberi penekanan kepada menteri yang sepatutnya bertanggungjawab menjalankan tugas kepada rakyat.
“Kita tidak mahu perkara seperti contohnya, lain tuntutan rakyat, lain pula tindakan kerajaan. Lain menteri yang rakyat mahu, ditukarkan pula menteri yang letak jawatan,” katanya.
Baru-baru ini, Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dengan kerjasama Majlis Perwakilan Rakyat Zon Lembah Pantai menganjurkan bengkel seni kaligrafi Cina di kawasan itu.
Program itu yang mendapat liputan sebuah televisen swasta dan memaparkan tajuk “Kaligrafi Cina Pupuk perpaduan” dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang juga Pengarah Komunikasi PKR.
Orang ramai terutama bangsa Melayu dan umat Islam marah kepada Dong Jiao Zong kerana pertubuhan Cina itu menganjurkan bantahan besar-besaran berhubung keputusan Kementerian Pendidikan memasukkan tiga muka surat pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular. – MalaysiaGazette