KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan terbaharu beberapa pengurusan kanannya dengan menyaksikan Rohaya Mohammad Yusof dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan menggantikan Datuk Mohamad Nasir Ab Latif yang bersara pada 31 Disember lalu selepas berkhidmat selama 37 tahun dengan entiti tersebut.
Rohaya sebelum ini adalah Ketua Persaraan Persendirian yang memimpin penerokaan peluang pasaran persendirian domestik dan global.
KWSP dalam satu kenyataannya hari ini turut mengumumkan pelantikan Nurhisham Hussein sebagai Ketua Pegawai Strategik, jawatan yang sebelum ini disandang oleh Alizakri Alias sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai KWSP pada Ogos 2018.
Nurhisham menyertai KWSP pada tahun 2014 sebagai Ketua Jabatan Ekonomi dan Pasaran Modal, setelah berkhidmat di Malaysian Rating Corporation Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Affin Bank Berhad.
Rohaya dan Nurhisham menyertai pengurusan kanan dana persaraan yang diketuai oleh Alizakri Alias, termasuk Timbalan Ketua Pegawai KWSP (Operasi) Datuk Mohd Naim Daruwish, Ketua Pegawai Kewangan Sazaliza Zainuddin dan Ketua Pegawai Teknologi Afhzal Abdul Rahman.
Menurut Alizakri, pelantikan Rohaya dan Nurhisham membuktikan bahawa KWSP amat mengutamakan pelan penggantian bakat dan kepimpinan kerana kedua-duanya telah berkhidmat di KWSP untuk jangka masa panjang dalam kapasiti berlainan.
“Kedua-dua mereka mempunyai persefahaman tentang keunikan KWSP sebagai dana persaraan jangka panjang untuk ahli.
“Pada masa yang sama, Rohaya dan Nurhisham membawa perspektif baru yang sangat berharga hasil daripada pengalaman mereka sepanjang berada di KWSP.
“Kita semua mengenali Rohaya sebagai salah seorang individu yang disegani dalam industri kewangan, dan beliau berada dalam kedudukan baik untuk menyumbang kepelbagaian dalam pasukan pengurusan kanan.”
“Nurhisham juga sebagai salah seorang pakar ekonomi pasaran terbaik negara mempunyai pengalaman dalam membina strategi keselamatan sosial berimpak besar kepada Malaysia.
“Unjuran analisa beliau yang mendalam akan memberi nilai besar kepada usaha KWSP dalam memastikan strategi korporat yang kukuh untuk jangka masa panjang,” katanya.
Tambah Alizakri, walaupun tahun 2020 membawa pelbagai cabaran namun beliau yakin dengan barisan pengurusan kanan terbaharu ini, KWSP bersedia mencapai matlamat yang telah disasarkan.-MalaysiaGazette
Sudah pasti bukan disambung ke kebal besar politik. KWSP kena pasti jangan sepokok pisang berbua dua, tiga kali.