Dong Zong

KUALA LUMPUR – Dong Zhong berkeras mahu keputusan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular diserahkan kepada Lembaga Pengelola Sekolah dan bukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid-murid.

Pertubuhan itu juga kekal ekstrem dan bersifat cauvinis dalam mempertahankan pendidikan kaum Cina meskipun berdepan ugutan mana-mana pihak termasuk kerajaan memerintah.

Bagi Dong Zong kepentingan kaum itu adalah mempertahankan identiti dan bahasa mereka, oleh itu mereka akan bersungguh-sungguh melakukannya dari sudut kewangan dan fasiliti.

Pandangan itu dibuat oleh Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan selepas mengadakan pertemuannya dengan Dong Zong semalam.

iGuru mengadakan pertemuan dengan Dong Zong bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap Dong Zhong berhubung polemik tulisan Jawi dan menjelaskan pendirian tegas membantah tindakan pertubuhan itu yang cuba mencabar kedudukan Bahasa Melayu dan menyeru mereka untuk menghormati Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Mohd Azizee berkata, permulaan diskusi berhubung isu Jawi agak tenang tetapi ia menjadi semakin panas ketika kedua-dua pihak membahaskan isu sekolah satu aliran dan polemik tulisan Jawi.

Katanya, Dong Zong tegar menolak pembelajaran Jawi di tahun 4 SJKC dan SJKT.

Mohd Azizee Hasan menyerahkan memorandum dari Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berhubung polemik tulisan Jawi kepada wakil Dong Zong.

Penolakan kerana Dong Zong melihat naratif pendidikan melalui kaca mata perspektif “kecinaan” dan menganggap kewujudan sekolah- sekolah cina sudah lama bertapak dan British mengiyakan perkara tersebut.

Malah, Dong Zong menolak konsep sekolah satu aliran dan memperjuangkan konsep pelbagai bahasa, bererti Dong Zong akan terus berjuang untuk pengekalan sekolah vernakular.

Tambah Mohd Azizee, perjuangan Dong Zong merentasi parti dan meletakkan identiti, bahasa dan budaya mesti dipelihara melalui pendidikan.

Justeru, sebarang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tanpa perbincangan dengan Dong Zong yang berperanan sebagai Lembaga Pengelola Sekolah akan membawa konflik antara dua pihak.

“Dong Zong menganggap pembelajaran Jawi adalah satu bentuk Islamisasi yang turut disokong kaum India yang mendakwa ramai anak mereka memeluk Islam disebabkan belajar tulisan Jawi walaupun ini hanya tuduhan tidak berasas.

“Dong Zong konsisten memzahirkan sikap rasis dalam memperjuangkan pendidikan Cina. Oleh itu kakitangan dan staf adalah mereka diambil dari mereka yang boleh bercakap Bahasa Cina,” katanya dalam kesimpulan yang dibuat hasil pertemuan tersebut.

Menurutnya lagi, Dong Zong tidak menggunakan silibus sejarah yang ditetapkan KPM kerana mereka menggubal kurikulum sejarah menurut perspektif sendiri dan memasukkan lebih banyak kandungan berkaitan sejarah dunia berbanding sejarah Malaysia.

Ia kerana, mereka melihat penulisan sejarah negara dimanipulasi orang politik, sedangkan hakikatnya mereka gagal memahami sejarah negara dengan tepat dan betul.

Mohd Azizee menambah, Dong Zong menganggap sistem pendidikan sedia ada hanya mementingkan satu kelompok sahaja iaitu murid-murid yang belajar di SK manakala murid- murid di SJKC/ T dipinggirkan atau berlaku diskriminasi.

Tetapi, sebenarnya, kata beliau, Dong Zong menolak untuk menerima sistem pendidikan aliran perdana.

Beliau berharap rumusan ini adalah permulaan bagi satu kajian lebih mendalam dibuat dalam sistem pendidikan kelolaan Persekutuan Persatuan- Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia.

Pada masa ini terdapat 80 Sekolah Milik Persendirian Cina di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.