KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya mendedahkan sebarang maklumat antaranya rakaman audio kepada orang awam sebaliknya perlu menyerahkan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa supaya penyiasatan terperinci dapat dilakukan.
Presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Penyiaran rakaman perbualan telefon secara langsung yang dibuat oleh SPRM itu adalah sesuatu perkara yang pertama kali dan tidak sepatutnya berlaku sehingga menyebabkan perbicaraan (trial) oleh media dibuat sebelum siasatan dilakukan.
“Pendedahan itu juga telah menimbulkan dakwaan cubaan menghina, subjudis, melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 serta menafikan kedaulatan undang-undang.
“Malah terdapat laporan yang menyebut Ketua Pesuruhjaya SPRM membuat kenyataan terhadap ketulenan rakaman audio berkenaan sedangkan perkara tersebut sepatutnya ditentukan oleh mahkamah, sekiranya perkara tersebut dibawa ke mahkamah.
“Dengan itu, Majlis Peguam mendesak supaya siasatan terperinci mengenai pendedahan tersebut dijalankan demi kepentingan orang awam.
“Kedaulatan undang-undang perlu didokong dengan prinsip-prinsip ketelusan, akauntabiliti, tadbir urus yang baik di samping menjaga kepentingan umum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tegas Abdul Fareed, meskipun penyiaran audio berkenaan tidak mengikut saluran betul, penyiasatan terhadap pendedahan berkenaan perlu dilakukan segera.
Tambahnya, Majlis Peguam melahirkan rasa terkejut membaca laporan mengenai pendedahan semalam yang mendakwa berlaku konspirasi di peringkat tertinggi.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya memanggil sidang media khas dan mendedahkan sembilan rakaman audio melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan beberapa individu termasuk Datin Seri Rosmah Mansor dan pemimpin negara luar.
Baca: SPRM dedah siri rakaman perbualan Najib dan beberapa individu termasuk dari UAE
Tindakan beliau itu mengundang kritikan pelbagai pihak terutamanya dalam profesionan guaman yang menyifatkan pendedahan itu membelakangkan kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette
Pendedahan Latheefa dan SPRM membelakangkan kedaulatan undang-undang – Peguam