Puspakom mengadakan Kempen Pemeriksaan Secara Sukarela sempena Tahun Baru Cina.

KUALA LUMPUR – Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) mengadakan kempen #drivesafenoregrets Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela Percuma kepada semua pemilik kenderaan persendirian sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Fi sebenar Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela itu adalah RM50 bagi sebuah kenderaan namun sepanjang tempoh kempen berlangsung, tiada bayaran dikenakan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Puspakom berkata, kempen yang dijalankan selama 11 hari bermula 11 Januari sehingga 21 hari itu dibuka di semua Pusat Pemeriksaan Kenderaan Puspakom (kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang dikhaskan untuk kenderaan berat sahaja) sepanjang waktu operasi di cawangan masing-masing.

Selain pusat pemeriksaan, Puspakom turut menyediakan unit bergerak di lima lokasi terpilih:-

  1. Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur pada 11 Januari 2020
  2. Dataran Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada 14 Januari 2020
  3. Tesco Extra Ampang (parkir blok B) pada 18 Januari 2020
  4. Insa Dunia Food Court Car park, Bukit Mertajam Pulau Pinang pada 22 Januari 2020
  5. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  Alor Setar, Kedah pada  23 Januari 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Shukor Ismail, program itu mberikan bacaan dan laporan prestasi 25 item pemeriksaan kenderaan seperti keadaan tayar, gelincir sisi, suspensi, pelepasan asap, pemeriksaan bahagian atas dan bawah kenderaan dan pemeriksaan cermin gelap.

“Laporan pemeriksaan yang dijana boleh digunakan sebagai rujukan pemilik kenderaan sebelum mahupun selepas penyelenggaraan dilakukan  di bengkel kenderaan.

“Kami di PUSPAKOM sentiasa mengambil berat tentang keselamatan kenderaan dan pengguna jalan raya di Malaysia. Peranan PUSPAKOM adalah membantu pemilik kenderaan untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan secara menyeluruh melalui pemeriksaan dengan menggunakan peralatan pemeriksaan yang mengikut standard yang sama digunapakai oleh negara-negara lain.

“Oleh itu, sempena Tahun Baru Cina yang bakal tiba, saya menyeru semua pemilik dan pemandu kenderaan persendirian rebutlah peluang dengan menghantar kenderaan ke Puspakom bagi menjalani pemeriksaan secara percuma ini”, katanya.

Tambah Shukor, sempena kempen itu, Puspakom  juga menerbitkan sebuah video pendek yang bertajuk Temui Jodoh di VVI –“Jodoh Pertemuan Tidak Disangka, Namun Keselamatan Kenderaan Perlu Dijaga”.

Video pendek ini boleh ditonton di laman Youtube dan Facebook Puspakom Sdn Bhd.

Untuk segala pertanyaan tentang pemeriksaan kenderaan sukarela percuma, sila hubungi  1-800-88-6927 atau layari laman web www.puspakom.com.my atau Facebook Puspakom Sdn Bhd.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast