KUALA LUMPUR – Kumpulan G25 didakwa puak yang seperti hidup di zaman Jahiliyyah apabila membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.
Sedangkan, salah satu sifat undang undang ialah menghukum selain daripada mencegah dan juga mendidik.
Jadi, sudah tentu tidak salah jika undang undang sedia ada menghukum mereka yang melakukan kesalahan berkaitan agama.
Lantaran itu, menurut Naib Presiden dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Prof Madya Dr Amini Amir Abdullah, kenyataan G25 yang berkata, jika mahu tinggalkan Islam, itu antara dia dengan Tuhan adalah janggal dan pelik.
“Jika ini adalah intipati daripada kertas laporan G25 yang bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”, pastinya ada banyak lagi hujah hujah yang songsang dan khilaf,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau mengulas kenyataan kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) yang membidas undang-undang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.
Ia berdasarkan kertas laporan “Administration of Matters Pertaining to Islam”.
Jelas G25 dalam laporan tersebut, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat misalnya adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan Tuhan.
Laporan itu juga mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
Perkasa berpendapat pandangan puak G25 dalam laporan tersebut jelas bertentangan dengan falsafah perundangan Islam dan tindakan undang-undang yang lebih serius terhadap individu yang tidak bersolat Jumaat perlu dilakukan.
Jika tidak, tiadalah gunanya kewujudan hukum dan undang undang dalam Islam, katanya.
Amini mendakwa Kumpulan G25 tidak faham tentang hukum hakam Islam apabila mereka menyatakan tindakan tersebut adalah tidak wajar sambil mempersoalkan dari mana puak G25 ini belajar mengenai undang undang Islam dan bagaimana pula hubungan individu itu dengan orang lain dan masyarakat.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan G25 juga mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
“Kenapakah puak G25 ini masih tidak faham faham maksud kebebasan beragama? Ia bukanlah bermaksud bebas meninggalkan atau mematuhi ajaran ajaran agama. Dalam konteks Islam, segala titah perintah Allah SWT. adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan, bukannya alternatif atau pilihan.
“Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, iaitu, hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama berbeza antara Islam dengan agama lain. Jika seseorang Islam ingin kekal dalam agama Islam, ia adalah seseorang yang taat kepada titah perintah Allah, jika ia keluar, ada peruntukan undang undang Islam terhadapnya.
“Puak G25 berpendapat tiada orang boleh dipaksa mempercayai Tuhan dan tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam. Soalnya, jika seseorang itu telah Islam, maka ia perlu menjadi seorang yang komited dalam konteks akidah, akhlak, muamalat dan seumpamanya. Baguslah jika puak G25 sedar kesalahan “…meninggalkan Islam adalah sesuatu yang dikesali,” hujahnya.
Menurut beliau lagi, pandangan G25 juga tersasar dan songsang apabila mereka menyatakan bahawa “…. sekiranya dia tetap mahu meninggalkan Islam, maka itu antaranya dengan Tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran”.
“Kenapakah bangang sungguh puak G25 ini? Banyak Hadis Nabi Muhammad SAW. yang membahaskan persoalan murtad ini.
“Manakala hujah bahawa penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Jakim tidak mengikut perlembagaan juga adalah tersasar daripada hakikat sejarah dan asas Islam sebagai agama Persekutuan.
“Semua orang celik sejarah mengetahui bahawa penubuhan MKI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah selari dengan perlembagaan.
“Puak G25 ibarat bodoh tidak boleh diajar dalam konteks ini kerana mereka merujuk kepada orang yang tidak faham tentang sejarah penggubalan Perlembagaan Persekutuan.
“Betul, tiada peruntukan dalam perlembagaan “untuk penubuhan organisasi berkenaan. Tetapi sedarkah mereka peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan membolehkan penubuhan sebarang entiti atau organisasi berkaitan dengan Islam? Terimalah hakikat sejarah Islam dalam negara kita. Ketahuilah bahawa kuasa Majlis Raja-raja, yang dihadkan kepada perkara-perkara yang ditetapkan dalam Perkara 38 Perlembagaan, adalah termasuk menubuhkan sebarang entiti atau agensi persekutuan seperti MKI atau Jakim. Janganlah pula disanggah kuasa Majlis Raja Raja, kelak buruk padahnya,” tegasnya.
Beliau meminta G25 bukan memberi fokus kepada perkara perkara picisan dengan tujuan mencari publisiti murahan dan populariti, sebaliknya belajarlah agama daripada ulama sebenar dan bukan daripada orang yang mendapat petunjuk daripada syaitan yang jahil murakab. – MalaysiaGazette